Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan usahawan kosmetik iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar atau lebih dikenali dengan nama Karen Rahman dan anak perempuannya, Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada Maria Farida atas kesalahan memfitnah pelakon itu.
BACA: Kena Ugut Simbah Asid, Maria Farida Upah Pengawal Peribadi
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas kedua-dua defendan gagal menghadirkan diri pada perbicaraan kes itu. Kedua-dua defendan turut diperintah membayar kos RM50,000 kepada Maria.
Maria sebelum ini telah memfailkan saman terhadap Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Disember 2016 atas dakwaan fitnah terhadapnya di Instagram, Facebook dan sebuah portal.
Dia juga memohon perintah menghalang kedua-dua defendan daripada menghubungi termasuk menerusi panggilan telefon, mesej, media sosial atau apa sahaja medium komunikasi melainkan peguamnya selain menghalang Karen menggunakan atau menerbitkan gambarnya bagi tujuan mempromosi sebarang produk syarikat wanita itu. (rtky/s)