Mari Raikan Hari Wanita 2022 Bertemakan ‘Saksama Bersama’ Di KLCC!

Seperti yang anda tahu, Hari Wanita disambut setiap tahun di Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan negara.

Bagi tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin mengumumkan pemilihan ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang akan disambut pada 8 Mac ini.

Kalau anda nak tahu, tema ini dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan. Ia juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu “Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow”.

Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

Sumbangan Besar Wanita

Di samping itu, negara kita juga telah mengiktiraf peranan signifikan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan negara. Untuk info anda, sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62% (15.9 juta wanita – Data pada Suku Keempat Tahun 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia, DOSM) populasi Malaysia tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi wanita merupakan tulang belakang keluarga yang menjadi asas negara.

Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Tahun 2020 daripada DOSM pula, pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.059 dan sub-indeks Kesihatan dan Kehidupan yang mencatatkan skor 0.956.

Bagi sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi, Malaysia mempunyai skor 0.738 manakala untuk sub-indeks Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), skor Malaysia masih rendah iaitu 55.3% pada tahun 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (69.7%) dan Thailand (66.8%).

Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 yang menunjukkan masih jauh jurang penglibatan wanita dalam bidang politik. (Skor dengan nilai 1.0 atau 100% menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah tercapai dalam sub indeks-sub indeks tersebut).

Kalau dilihatkan peratusan yang dilaporkan ini, memang wanita di negara kita ni hebat-hebat belaka. Betul superwoman!

Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan

Jadi, bagi menghargai wanita-wanita besi ini, sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac 2022 ini. Waah, boleh sangat lah nak ajak kawan-kawan beramai-ramai datang sini. Oh ya, sambutan ini juga bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.

Kalau anda nak tahu, sambutan pada kali ini akan melibatkan aktiviti-aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada wanita menjana pendapatan.

Bukan itu jer, ia juga menjadi pusat setempat yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor korporat dan NGO menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat. Wah, menarik ni. Memang kena datang! Yang penting, jangan lupa untuk patuhi SOP okay.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyeru agar orang ramai dapat berkunjung ke KLCC bagi menyertai dan memeriahkan sambutan pada kali ini dengan mematuhi SOP yang berkuatkuasa.

Justeru, Kementerian turut menggesa agar semua pihak melaksanakan program-program yang bersesuaian untuk pembangunan wanita sempena Sambutan Hari Wanita 2022 di peringkat masing-masing selari dengan tema “Saksama Bersama”.

Jom Ketahui Maksud Sebenar Logo Hari Wanita 2022

Sebelum akhiri artikel ini, jomlah ambil tahu dahulu maksud sebenar logo Hari Wanita tahun ini. Huruf W di awal logo melambangkan perkataan Wanita, dua bar di bahagian tengah dan kanan menunjukkan kesaksamaan (sama tinggi) manakala bar pada sebelah kiri menunjukkan usaha berterusan untuk mencapai kesaksamaan pada akhirnya.

Logo ini menggunakan dua warna iaitu merah dan biru. Merah melambangkan semangat keberanian dan jiwa yang kental manakala biru pula melambangkan kesetiaan dan ketegasaan.

Wow sangat logo kali ini. Okay gais, jumpa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 6 hingga 8 Mac 2022 nanti yer!

Kepada yang ingin berkunjung ke Sambutan Hari Wanita 2022, sila daftarkan diri anda pada link berkenaan bagi mendapatkan QR Code kehadiran anda.

Link pendaftaran: DI SINI

×