Majlis Kahwin Mas Idayu, Sufian Dapat Tajaan RM7 Juta

Penyanyi dangdut, Mas Idayu mengumumkan bakal diijabkabulkan dengan lelaki pilihan hati yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Sufian Isa pada 16 September depan.

Memetik Harian Metro, majlis pernikahan Mas Idayu dan Sufian itu juga turut mendapat tajaan mencecah RM7 juta dan bakal mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records. Menurut Mas Idayu, apa yang penting baginya adalah kebahagiaan dalam perkahwinannya itu.

BACA: Mas Idayu Akui Banyak Dugaan Menjelang Hari Bahagia

“Saya memang tak sangka, ia ‘tular’ begini. Hingga saya dan bakal suami ada terfikir juga, siapa Mas Idayu dan Sufian Isa ini yang berita hubungan kami mampu jadi tular dan banyak pihak berminat nak beri tajaan.

“Apapun, saya sebenarnya tak fikirkan sangat nilai tajaan perkahwinan yang mencecah RM7 juta ini. Apa yang saya fikirkan adalah macam mana nak melalui kehidupan bersama dengan pasangan selepas sekian lama saya tidak melaluinya. Saya lebih fikirkan semoga dapat jalani kebahagiaan dalam perkahwinan kedua ini sampai akhir hayat,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Idayu berkata bakal suaminya yang memilih tarikh 16 September untuk diijabkabulkan kerana mudah untuk penyanyi itu mengingati tarikh tersebut.

“Jadi, tarikh 16 September nanti, semua orang cuti kerana Hari Malaysia dan mudah juga saya nak ingat. Sebabnya, saya ini susah nak ingat tarikh. Tapi, saya setuju bila Sufian bagi tarikh ini, sebab senang nak ingat saja,” katanya.

Sementara itu, Mas Idayu memaklumkan majlis pernikahannya bakal diadakan di Magica Quill City, Kuala Lumpur, jam 9 pagi diikuti dengan majlis resepsi yang diadakan pada sebelah malam.

Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997, namun bercerai pada 2006. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa kini berusia 25 tahun. 

×