Mahu Saman Tapi Siti Sarah Bimbang Netizen Bunuh Diri

Baru-baru ini, Siti Sarah meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila ada segelintir pihak yang masih menghina bentuk hidungnya. Bukan kali pertama bentuk fizikalnya dihina, Sarah berkata sudah lebih 30 tahun dia menganggung penderitaan itu.

Bagaimanapun, Sarah berkata masih mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap netizen yang menghina wajahnya. Sarah juga mengakui berat hati untuk menyaman netizen yang keterlaluan.

BACA: Siti Sarah Sudah Tidak Tahan Hidung Dihina

“Saya sebenarnya berat hati untuk mengambil tindakan terbabit, tetapi saya tidak kata tidak mahu melakukannya. Takut kalau sekarang ini saya kata tidak mahu mengambil tindakan undang-undang tapi kemudian hari selepas berbincang mengenai perkara itu saya akan melakukannya.

“Saya memikirkan bagaimana situasi sekiranya mengambil tindakan undang-undang terhadap warganet yang menghina hidung saya itu.

“Untuk mengesan siapa individu yang memuat naik kenyataan menghina fizikal wajah saya itu tidak susah. Dengan bantuan pihak berkuasa dan peguam ia mudah untuk dilaksanakan,” katanya kepada Harian Metro.

Ujar Sarah lagi, sekiranya tindakan diambil dia bimbang seandainya individu terbabit tidak dapat berhadapan dengan tekanan dan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

“Cuma kepada individu itu, dia mungkin tidak pernah berdepan dengan tekanan disaman. Takut perkara itu membuatkan dia berada dalam tekanan dan silap hari bulan mengambil jalan singkat serta membunuh diri. Nauzubillah!

“Saya tahu orang yang menghina dan memuat naik di Instagram itu akalnya tidak panjang. Kalau akalnya panjang dia tidak akan berbuat demikian,” katanya.

Untuk pengetahuan anda, individu yang didapati bersalah menghina atau mempersendakan bentuk tubuh individu lain boleh didenda RM50,000 dan dipenjara setahun mengikut Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

×