Mahu Jadi Muslimah Yang Baik, Zila Bakarin Mula Jaga Batas Pergaulan

Ramai yang gembira dan memberi reaksi positif apabila mendengar perkhabarannya sudah pun bertudung sejak Februari lalu, pelakon Zila Bakarin mengakui kehidupan yang dilaluinya kini agak berbeza.

Zila berkata meskipun penampilannya sudah berubah namun dia masih sama seperti yang ramai kenali dahulu. Ujarnya lagi, dia kini berfikiran positif kerana berhijab dan menutup aurat merupakan tuntutan agama.

BACA: Zila Bakarin Akui Tiada Tawaran Berlakon Selepas Bertudung

“Memang ada perbezaan yang ketara sangat tapi saya tetap Zila Bakarin yang sama. Saya ambil inisiatif yang sangat positif sebab berhijab dan tutup aurat adalah sebahagian daripada kewajipan agama untuk kaum perempuan.

“Saya dah ke arah tu, tapi benda lain saya sama saja. Saya masih seorang yang sangat peramah,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Zila berkata dia kini mula menjaga batas pergaulan terutama dengan golongan bukan mahram. Malah, dia juga belajar untuk menjaga percakapan demi menjadi muslimah yang baik.

“Kalau dekat set penggambaran dulu hidup saya bertepuk tampar dengan orang tu biasa saja.. bergurau tu biasa saja, tapi sekarang kena ada batasan la,” katanya.

Sebelum ini meluahkan rasa kesal kerana kurang menerima tawaran selepas berhijab, Zila tidak menyalahkan mana-mana pihak dan menganggap itu adalah sebuah ujian baginya untuk terus istiqamah dalam berhijab.

“Mungkin pihak produksi tak percaya bila kita dah bertudung, kita masih boleh bawa watak jahat. Sebenarnya boleh saja, tak ada masalah, tapi mereka takut netizen kritik.

“Tapi bagus juga, Allah nak bagi saya rehat dan terus istiqamah. Kalau dah tertulis itu bukan rezeki saya maka ia bukan rezeki saya. Benda itu saya kena reda dan tak pernah rasa kecil hati atau marah,” katanya.

×