Penyanyi Zaki Yamani memohon maaf susulan kenyataannya sebelum ini mengatakan dia membeli kereta mewah Mercedes-Benz untuk menjaga imejnya.
Memetik HibGlam, Zaki berkata sebaliknya dia membeli kereta dianggarkan bernilai sekitar RM300,000 itu adalah untuk memberi inspirasi kepada generasi muda untuk kejar impian mereka.
BACA: Beli Mercedes Benz, Zaki Yamani Bukan Nak Berlagak Tapi Kena Jaga Imej
“Saya minta maaf, sebelum ini salah cakap ada kereta mewah kena jaga imej. Tujuan saya sebenarnya mahu generasi muda ada motivasi membeli kereta idaman mereka. Memang saya mahu mereka jadikan inspirasi tetapi tersalah cakap sebelum ini sehingga kena kecam,” katanya.
Sementara itu, penyanyi berusia 19 tahun itu berkata dia juga mahu ada rumah sendiri namun perlu fokus pada kariernya terlebih dahulu.
“Bagi saya kereta itu adalah pelaburan, sebagai penyanyi muda perlu melabur. Kalau rumah pula memang ada terfikir cuma minat sekarang lebih kepada kereta. Tanah sudah ada cuma buat masa ini mahu fokus karier dahulu. Kalau ada rezeki, baru akan fikir bina rumah,” katanya.
Terdahulu, Zaki meluahkan rasa bangga berjaya membeli kereta jenis Mercedes Benz AMG A Class hasil titik peluhnya sendiri. Malah, dia menganggap ianya sebagai satu pelaburan serta imej baru buat dirinya sebagai penyanyi muda.
SUMBER: HibGlam