Nampaknya, kemelut isu bayaran pelakon dan produksi teater Korupsi Dewan Semandung masih tiada kesudahan lagi. Sebelum ini penerbitnya, Fauziah Ahmad Daud berjanji akan menjelaskan segala bayaran yang tertunggak secepat mungkin.
Bagaimanapun, pengarah teater tersebut, Khir Rahman meluahkan rasa kesal terhadap Fauziah yang mesra dengan panggilan Ogy yang sekali lagi memungkiri janji untuk membayar wang tertunggak sejak beberapa bulan lalu.
BACA: Ogy Ahmad Daud Jual Pes Kari Kumpul Duit Untuk Bayar Hutang
Menerusi perkongsian di Twitter, Khir memberitahu Ogy telah menggunakan khidmat peguam dan menghantar surat bagi menyelesaikan bayaran tertunggak yang dijadualkan pada 16 Mei lalu.
TERKINI : Pembayaran Teater 'Korupsi Dewan Semandung' :
Sejak hal ini menjadi viral, sekitar 8hb May yg lepas, Kak Ogy, melalui sebuah syarikat peguam, Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir ..telah menghantar surat tawaran penyelesaian utk bayaran kami yg masih tertunggak itu ..
— KEI RAMOSS (@KhirRahman) May 17, 2020
Bagaimanapun, apabila tiba pada hari yang telah dijanjikan, sampai pula lagi satu surat memberitahu pembayaran akan ditangguhkan lagi.
Difahamkan, penangguhan itu disebabkan kerana kekurangan dana untuk membayar semua tenaga produksi yang terlibat.
“Surat tawaran menyatakan bahawa ada di antara kami yang akan dibayar terus 100 peratus dan ada pula yang akan dibayar 50 peratus pada 16 Mei. Malangnya, sehari sebelum 16 Mei, sampai lagi satu surat memberitahu pembayaran akan ditangguhkan.
“Ya ..ditangguhkan ke suatu tarikh yang tak dapat dipastikan lagi, bererti dimungkiri lagi. Cuma kali ni, belum pun sempat menandatangani kontrak tawaran baru, penangguhan pula yang diberitahu. Ini sangat mengecewakan,” tulisnya.
Khir turut merayu agar Ogy menjelaskan segala hutangnya dalam kadar segera bagi menyelesaikan segala kemelut yang berlaku. Ujarnya, dana perlu dicari sebelum melaksanakan sesebuah projek bukannya selepas selesai.
“Sila bayar hak kami…saya mohon! Mencari dana adalah sebelum melaksanakan satu-satu produksi, bukan sesudah.
“Jangan guna kes-kes begini untuk mohon simpati mengaut untung perniagaan. Kami ni bukan pihak yang menekan Kak Ogy sebaliknya kami yang tertekan dengan palsunya janji-janji Kak Ogy. Kami telah jaga nama Kak Ogy, kami bersungguh-sungguh menghasilkan pementasan yang baik,” katanya.
Terdahulu, hangat diperkatakan isu apabila Ogy yang dikatakan melarikan diri daripada membayar kru dan pelakon yang terlibat dengan pementasan teater Korupsi Dewan Senandung.
Malah, Ogy didakwa telah menyekat beberapa pelakon yang menjadi terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut di Instagram. Kata mereka, jika tidak lari daripada masalah tersebut mengapa perlu menyekat mereka.