Isteri penyanyi Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah stesen minyak selepas mendakwa tidak mahu bertanggungjawab atas kerosakan kereta miliknya.

Memetik BH Online, Anis mendakwa pada 17 Mac lalu, kereta jenis Mercedes yang dinaiki bersama Haqiem tidak dapat bergerak selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Kuala Berang, Terengganu.

BACA: “Saya Dah Cuba Jadi Suami Sehabis Baik” – Haqiem Rusli

Menurut Anis lagi, kejadian tersebut tidak pernah lagi dialami oleh mereka ketika mengisi minyak di mana-mana stesen lain.

“Ketika itu, saya hanya isi minyak kereta seperti biasa sahaja, tetapi mungkin pihak stesen tidak memeriksa tangki yang menyalurkan minyak.

“Kemudiannya, apabila kereta mula bergerak dalam 100 meter, tiba-tiba ia keluarkan tanda amaran mengenai kerosakan yang berlaku enjin. Kereta tiba-tiba tidak boleh bergerak di tengah lebuh raya.

“Nasib baik ada orang sedang membaiki jalan dan kami mencelah di kawasan itu untuk parkir kereta buat sementara waktu.

“Kami terpaksa tunggu kira-kira 4 jam sebelum trak tunda sampai untuk bawa kereta ke bengkel di Kuala Terengganu, Terengganu,” dakwanya.

Anis mendakwa selepas kenderaannya diperiksa pihak bengkel memaklumkan dalam tangki minyak kereta mempunyai air yang dipercayai masuk ketika mengisi minyak di stesen berkenaan.

Kata Anis lagi, kos membaiki kenderaan tersebut mencecah RM50,000 namun mendakwa pihak stesen minyak berkenaan tidak mahu memberi kerjasama serta tidak membalas mesej yang dihantar.

“Pada 19 Mac lalu, pihak bengkel maklumkan kepada kami bahawa kereta mengandungi air yang banyak dalam tangki minyak dan anggaran kos membaikinya kira-kira RM50,000.

“Sebelum ini, pihak stesen minyak ada maklumkan, mereka mahu memberikan kerjasama, tetapi akhirnya tiada sebarang maklum balas selama lebih sebulan. Perkara itulah yang membuatkan kami marah sebab kereta ini baru sahaja digunakan dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Anis berkata dia dan Haqiem sudah pun membuat laporan polis dan akan membawa kes tersebut ke mahkamah dalam masa terdekat.

“Kami sudah buat laporan polis dan kes ini juga akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat. Cuma, sekarang kami masih perlu melantik peguam untuk membuat tuntutan kepada pihak stesen minyak berkenaan,” dakwanya.

×