Kerap Hadir Majlis Agama, Nora Danish Terbuka Hati Berhijab

Pelakon Nora Danish memberitahu dia sudah memasang niat untuk mengenakan hijab sejak dua tahun lalu ketika usianya mencecah 40 tahun.

Memetik Oh Bulan, Nora berkata dia sering mengikuti kelas agama dan tidak menolak sekaligus membuka hatinya untuk berhijab.

BACA: “Kalau Nampak Nedim Dengan Perempuan Lain, Jangan Sampaikan Kepada Saya” – Nora Danish

“Rakan baik saya, Betty Rahmad kerap menganjurkan majlis ilmu di kediamannya dan saya biasanya sebulan sekali akan ikuti jika tiada urusan lain.

“Tetapi apabila pulang saya kadangkala malu terhadap diri sendiri kerana masih tidak berubah walaupun kerap mendengar ceramah agama. Perkara itu sedikit sebanyak menjadi penyebab untuk saya melakukan perubahan ini,” katanya.

Sementara itu, Nora berkata ibunya menitiskan air mata apabila melihat penghijrahannya itu dan mengatakan dia masih belajar untuk menjadi muslimah lebih baik.

“Ramai yang mendoakan perkara ini sebelum ini tetapi saya belum bersedia nak berikan komen. Ini kerana saya ini pun masih baharu dan bimbang dituduh riak.

“Saya pun masih belajar dan perlahan-lahan untuk menjadi muslimah lebih baik. Saya sedang cuba kerapkan diri untuk hadirkan diri ke majlis agama untuk dapatkan ilmu. Ibu adalah orang pertama yang terkejut dan menitiskan air mata apabila melihat perubahan ini,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi bekas suaminya, Nora berkata Nedim terkejut dan memuji dirinya kelihatan cantik berhijab.

“Saya memakai tudung pada hari selepas dia masuk wad di sebuah hospital baru-baru ini. Sudah tentu dia pun gembira malah dia turut memuji saya kelihatan cantik mengenakan tudung.

“Pada masa sama, saya ada juga terfikir semua yang berlaku ini adalah satu dugaan untuk saya terutama ketika diuji bekas suami sedang sakit. Jadi saya ambil hikmah ini dan nekad untuk berubah,” katanya.

SUMBER: Oh Bulan

×