Pasangan selebriti, Beego dan Linda Hashim mengesahkan pernah bercerai pada 27 Mac lalu namun rujuk semula pada 9 April ketika masih dalam edah.

Memetik Harian Metro, Linda meluahkan rasa syukur rumah dia dan suami dapat menyelamatkan rumah tangga mereka dan jodoh masih panjang.

BACA: Linda, Beego Akui Bercerai Tapi Rujuk Semula

“Berkat bulan Ramadan dan jodoh kami masih panjang. Alhamdulillah, kami dapat menyelamatkan rumah tangga ini kerana berjaya buang ego masing-masing,” katanya.

Menurut Linda, hal perceraian bukan perkara main-main dan tiada siapa yang berkahwin mahukan perceraian. Ujarnya lagi, dia banyak berdoa untuk selamatkan rumah tanggnya.

“Saya pun tak nak main-main benda ini (cerai). Tak ada siapa pun nak inginkan perceraian. Saya pun tak tahu hati berbolak-balik. Sebelum bercerai, kita pun dah ada kata putus sendiri sebenarnya. Tapi, saya terus berdoa, solat hajat sebab nak terbaik untuk kita dan diri masing-masing.

“Alhamdulillah, kuasa Allah pada bulan puasa pula dan doa memang mudah dimakbulkan. Lagi pula, setiap malam kita berdoa. Jadi, memang nampaklah ini semua jalan Allah, takdir Allah itu memang cantik.

“Dia bolak-balikkan hati kami dan dapat berbaik semula pada bulan yang baik (Ramadan). Jadi, benda ini memang keajaibanlah. Benda ini (jodoh) memang kerja Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Linda berkata dia dan Beego mengambil pendekatan duduk berbincang berdua untuk memahami hati masing-masing serta membuang ego untuk perkahwinan mereka itu.

“Saya mengetepikan semua orang di sekeliling dan menyelesaikan masalah secara kami berdua saja. Ia penting kerana, dalam hal membabitkan rumah tangga ini sebenarnya hanya kita suami dan isteri saja yang tahu.

“Jadi, kalau nak buat keputusan itu biar antara kita berdua saja demi diri masing-masing, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak memang menjadi kekuatan kami. Insya-Allah, kami harap ikatan yang disambung ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Saya buang ego diri dan betul-betul bersihkan hati dengan bermuhasabah diri untuk perkahwinan ini. Saya dan Beego, berjanji akan memperbaiki kelemahan diri kami demi ikatan perhubungan ini dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Difahamkan, pagi tadi Linda dan Beego hadir bersama di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka selepas rujuk semula.

×