Pelakon jelita, Nur Fazura berkata dia masih mahu berlakon, namun agak memilih naskhah berkualiti dari segi watak dan jalan cerita.
Memetik Harian Metro, Fazura yang hampir enam tahun tidak berlakon berkata dia tidak mahu berlakon watak sama sebaliknya mahu melakonkan watak ke arah pemerkasaan wanita.
BACA: Nyanyian Sumbang, Netizen Suruh Fazura Fokus Berlakon Sahaja
“Sudah enam tahun juga saya tidak berlakon drama dan memang peminat-peminat pun ada tanya. Cuma, saya akui sekarang memilih sedikit sebab tidak mahu berlakon watak sama seperti asyik berebut lelaki saja.
“Saya nak melakonkan sesuatu watak ke arah ‘women empowerment’ (pemerkasaan wanita) yang penuh semangat kerana sekarang ini dah zaman 2023, banyak sudah berubah.
“Wanita pada masa kini ada kekuatan semangat tersendiri. Jadi, kenapa saya pilih ‘comeback’ berlakon dengan naskhah drama Lelaki Itu sebab memenuhi permintaan daripada semua aspek,” katanya.
Difahamkan, drama Lelaki Itu terbitan Erma Fatima kini dalam proses penggambaran, termasuk membariskan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Nabila Huda, Che Puan Sarimah Ibrahim dan ramai lagi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dirinya yang agak selektif dan mungkin perlu ‘dipujuk’ juga untuk cuba mendapatkan kerjasama, Fazura berkata dia hanya inginkan watak yang bagus.
Malah, Fazura berkongsikan ramai yang menghantar mesej kepadanya berkongsikan masalah serta bagaimana untuk berdepan masalah dengan suami.
“Ramai yang mesej (DM) kongsi masalah pada saya dan tanya macam mana nak berhadapan masalah dengan suami dan sebagainya yang mendorong saya untuk bantu nak naikkan semangat wanita-wanita ini.
“Sekarang banyak isu penyondol, tapi macam mana wanita terbabit nak melaluinya. Jadi, mungkin saya boleh mendidik dan bimbing mereka (wanita) di luar sana agar kita kena bermaruah walaupun saya akui tidak tahu bagaimana isteri-isteri ini rasa dan pengalaman mereka,”‘ katanya.
Tambah Fazura lagi, kita mungkin tidak tahu apa yang terjadi dan mereka lalui namun baginya kata-kata semangat positif wajar diberikan.
“Macam saya kata, kita tak ada dalam ‘kasut’ mereka dan tak tahu apa yang terjadi. Tapi, saya fikir seorang wanita itu kalau suami buat hal (curang), mudah-mudahan Fattah tidak selingkuh, namun yang paling penting kita tidak boleh salahkan wanita saja.
“Jika pasangan kita pun melayan, ia akan jadi juga. Oleh itu, wanita di luar sana kalau menghadapi masalah ini (suami curang) jangan lantang sangat bersuara, buka aib orang, buka aib diri sendiri, awak mesti bermaruah.
“Kalau suami layan, takkan nak terus pergi serang wanita terbabit saja, kita kena salahkan suami juga. Bagi saya, kena ada sifat bermaruah untuk diri sendiri dan itu yang penting,” katanya.