“Kalau Setakat Kena Cekik Macam Tu Takkan Mati…” – Fezrul Khan

Bulan lalu, hangat diperkatakan mengenai konflik mengenai dakwaan pelakon Reen Rahim dicekik aktor Fezrul Khan ketika menjalani penggambaran sebuah filem.

Memetik BH Online, tetap dengan pendirian untuk tidak lagi bekerjasama dengan aktres itu, Fezrul berkata sebagai pelakon berpengalaman sudah pasti dia tahu apa yang boleh atau tidak dilakukan.

BACA: “Kau Terlampau Kurang Ajar” – Fezrul Khan Tak Akan Berlakon Lagi Dengan Reen Rahim

Kata Fezrul lagi, setiap manusia ada tahap kesabaran mereka dan dia juga mempunyai maruah. Ujarnya lagi, setiap pelakon yang bergandingan bersama perlulah saling berbincang untuk pastikan lakonan menjadi.

“Sekali buat tidak mengapa, kali kedua saya masih boleh sabar, tetapi bila sudah tiga kali, siapa boleh tahan? Sebagai pelakon lama, saya juga mempunyai maruah. Jika tak tahu bagaimana cara berlakon dan melakukan sesebuah babak, boleh sahaja bertanya dan berbincang dengan saya.

“Dia sebagai pelakon baharu sepatutnya berjumpa dengan pelakon senior untuk membuat latihan. Kami bekerja satu pasukan, jadi kena saling berbincang barulah babak lakonan menjadi. Ini baru berlakon lima tahun dan ada ramai pengikut dalam laman sosial, dia ingat boleh tunjuk besar kepala ke?” katanya.

Tambah Fezrul lagi, mereka diluar sana boleh menilai sendiri menerusi video yang dimuat naik di Instagram. Namun, Fezrul mempersoalkan mengapa aktres itu perlu menjerit kepadanya selepas babak tamat.

“Apa yang membuatkan saya geram, kenapa pengarah sebut ‘cut’, dia kena menjerit kepada saya? Kenapa tak jerit sejak awal babak dilakukan? Saya pernah melalui pelbagai pengalaman dalam api dan air. Kalau setakat kena cekik begitu, takkan mati.

“Mungkin dia ingin tunjuk kepada kekasihnya (kini suami). Lagipun, saya sudah dinasihatkan tidak bergurau dengan Reen jika lelaki itu datang,” katanya.

Dalam pada itu, Fezrul tekad untuk menolak jika ada tawaran untuk bergandingan dengan Reen serta memberikan nasihat jangan menerima tawaran jika tidak boleh membawa watak berat. 

“Sekiranya ada tawaran bersama Reen, saya akan tolak ‘job’ itu. Sebabnya, kita masih mempunyai ramai pelakon wanita hebat. Dia juga bukan ‘level’ saya. Nasihat saya, jika dapat watak berat dan rasa tidak boleh bawa, jangan terima tawaran.

“Jangan ambil ‘job’ semata-mata mahukan duit. Dan, jangan tunjuk hebat dan nak bersikap kurang ajar,” katanya.

×