“Kalau Betul Gimik Untuk Lancar Lagu Baru, Dimana Lagu Itu?”

Meskipun kemelut antara kumpulan Forteen dan Izzue Islam sudah pun berakhir, masih ada segelintir pihak mendakwa mereka ini sengaja mencipta kontroversi atau gimik untuk melancarkan lagu baharu tidak lama lagi.

Tidak kurang juga ada yang menuduh kesedihan yang ditunjukkan oleh mereka hanya lakonan semata-mata dan hanya gimik untuk pelancaran lagu baharu. Bagaimanapun, One menafikan tuduhan tersebut dan memberitahu jika ianya gimik untuk pelancaran lagu baru, pasti lagu tersebut sudah diperdengarkan.

BACA: Tetap Keluar Forteen Walaupun Sudah Berbaik

“Kami tahu sampai sekarang masih ada segelintir pihak yang mengecam Forteen berhubung isu perselisihan faham. Sebenarnya, kami sudah pun berbaik, jadi kita tolonglah ‘move on’ (teruskan seperti biasa).

“Jangan keruhkan lagi dengan dakwaan tanpa asas. Kalau tuduh air mata atau kesedihan kami adalah palsu, perkara itu masih kami diamkan. Namun, apabila mengaitkannya dengan sebagai gimik untuk pelancaran lagu baharu, itu tuduhan berat. Kalau betul di mana lagu itu?

“Soal kesedihan kami pula, apa yang berlaku bukanlah sesi uji bakat. Saya bukan jenis yang pandai berlakon. Sudah-sudahlah sebab kami sudah berdamai,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Izzue Islam mengejutkan peminat apabila dia mengumumkan untuk keluar dari Forteen. Izzue juga mendedahkan dia sering dipulaukan dan itu merupakan salah satu sebab dia mahu membawa haluan sendiri. Bagaimanapun, minggu lalu mereka dipertemukan empat mata untuk berbincang dan berdamai.

×