Sudah hampir lima tahun bergelar dua, penyanyi Adam AF berkata dia tidak serik untuk berkahwin lagi sebaliknya dia kini masih mencari.
Adam yang kini dikenali sebagai Pengiran Adam berkata dia menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Allah. Ujarnya, dia ada suka pada seseorang namun wanita berkenaan tidak minat padanya.
BACA: Nafi Sertai Tabligh, Adam AF Kembali Aktif Menyanyi
“Tiada istilah serik, kalau ada jodoh untuk berkahwin esok, maka esok jugalah saya kahwin. Jadi tidak wujud perkataan trauma atau apa, sebaliknya saya masih mencari.
“Ajal, maut dan jodoh semuanya terletak di tangan Allah SWT. Jadi saya sendiri tidak mempunyai jawapan untuk persoalan itu. Ada yang saya berkenan namun dia tidak minat saya pula,” katanya.
Ditanya mengenai hubungan dengan bekas isterinya, Fiza Halim, Adam berkata dia masih mengekalkan hubungan baik namun tidak lagi berhubung selepas Fiza bergelar isteri orang.
“Saya masih berhubung dengan bekas isteri yang mana kami saling bertanya khabar. Cuma ketika dia berkahwin itu, kami berhenti berkomunikasi kerana tidak manis memandangkan dia sudah menjadi isteri orang.
“Ada sesekali komunikasi, kami akan berkongsi rasa dan bertanya khabar. Malah, anak dia pun pernah menjadi anak saya juga suatu ketika dahulu,” katanya.
Terdahulu, Adam berkahwin dengan Fiza pada September 2013 dan bercerai pada April 2014. Namun rujuk pada tahun yang sama. Kemudian bercerai kali kedua pada Disember 2015.