Hampir 20 tahun tidak bersama, penyanyi Joe Flizzow berkata dia tidak kisah dibayar dengan harga rendah ataupun secara percuma untuk kembali membuat persembahan dengan Malique.
Memetik Harian Metro, Joe berkata jika ada tawaran dia sanggup berbuat demikian kerana banyak menerima tawaran untuk menggandingkan mereka semua, namun akur belum masanya untuk bersatu.
BACA: “Aku Kembali Di Dunia Sebenarku” – Malique
“Saya terbuka, awak bayar saya seringgit (RM1) pun saya buat. Tak bayar pun saya buat. Kalau saya kena bayar pun saya buat. Ia seperti pemain bola sepak tempatnya di padang dan anak seni tempatnya atas pentas dan ini adalah pentas pertama saya.
“Ini adalah tempat saya belajar semua dan tempat yang menjadikan saya sebagai saya. Sudah tentu kalau diberi peluang kembali ke pentas itu, saya terbuka. Saya dapat banyak ‘show’ bersama dia. Jumlah orang yang ‘offer’ memang tinggi.
“Kadang-kadang mungkin penganjur ingatkan duit boleh mempengaruhi keputusan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Joe berkata dia sentiasa berada disini namun dia menghormati serta segala keputusan adalah di tangan Malique sendiri.
“Saya konsisten, saya memang ada di sini dan saya tidak ke mana-mana. Saya menempuhi segalanya dan saya menjawab untuk semua pihak selama 20 tahun ini. Saya tak kata saya yang buat semua kerja tapi saya masih di sini. Insya-Allah akan terus berada di sini.
“Bagi semua yang tawarkan persembahan untuk Too Phat, insya-Allah kita doakan dan sekiranya Malique mendengar ini, saya boleh katakan keputusan di tangan dia kerana dia yang membuat keputusan. Saya bersedia,” katanya.
Joe dan Malique menubuhkan Too Phat pada 1998. Namun pada 2007, kedua-mereka memilih untuk meneruskan kerjaya solo sebelum Malique menghilangkan diri.
SUMBER: Harian Metro