“Jagalah Isteri Yang Satu Dengan Baik” – Edika Yusof

Pelakon Edika Yusof berkata dia tekad untuk mempertahankan kebahagiaan rumah tangganya seleaps melihat kesukaran ibunya yang membesarkan anak-anak selepas diceraikan,

Memetik Utusan Online, Edika berkata dia memahami perasaan isteri yang terpaksa berkongsi kasih dan dia akan berusaha untuk memberikan kebahagiaan buat isterinya, Nur Hidayah Yusri.

BACA: Sambut Anniversary Ke-18, Edika Yusof Terus Setia Jaga Isteri Lumpuh

Menurutnya lagi, ada dikalangan ahli keluarganya berkahwin lebih dari satu dan dia melihat bukan mudah untuk berlaku adil pada isteri-isteri dan anak-anak.

“Bapa saya berkahwin lebih daripada satu dan ada juga saudara lelaki terdekat melakukan perkara sama. Apa yang saya lihat, bukan mudah bagi seorang suami yang berkahwin lebih daripada satu untuk memberikan keadilan menyeluruh kepada isteri dan anak-anak mereka.

“Saya melihat bagaimana sukarnya ibu membesarkan kami adik-beradik selepas diceraikan bapa. Sukar untuk saya ulas tentang perkara ini kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Tetapi, apa yang boleh saya katakan jagalah isteri yang satu dengan baik.

“Letakkan diri kita dalam situasi, hati dan perasaan mereka. Sekiranya seseorang lelaki itu ditakdirkan berkahwin dua, mereka kena betul-betul berlaku adil,” katanya.

Dalam pada itu, Edika berkata dia mengakui risau apabila ada pihak yang datang dan meminta pandangannya berkenaan isu rumah tangga orang lain termasuk hal Syamsul Yusof dan Puteri Sarah yang kini sedang hangat diperkatakan.

“Memang risau apabila orang rujuk kepada saya tentang kisah rumah tangga orang lain. Saya bukan malaikat, hanya seorang suami yang mahu menjaga isteri dan anak-anak dengan baik.

“Sebagai suami, memang terasa tempiasnya apabila kisah begini diperkatakan ramai. Saya kena berhati-hati, pastikan hanya keluar dengan kawan-kawan lelaki bagi mengelakkan fitnah. Apa yang saya buat adalah untuk keluarga, bukan untuk orang lain,” katanya 

×