Ira Kazar Minta RM3,000, Tapi Syamsul Perlu Bayar RM200 Saja

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memerintahkan pengarah sensasi, Syamsul Yusof untuk membayar kos kehadiran sebanyak RM200 kepada bekas isterinya, Ira Kazar.

Memetik Harian Metro, perkara itu diputuskan oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung petang tadi.

BACA: Syamsul Yusof, Ira Kazar Sah Cerai Talak Satu

Keputusan itu dibuat selepas meneliti dan mempertimbangkan keterangan Ira selaku defendan yang menuntut RM3,000 atas alasan sudah menyusahkan selain pihak plaintif (Syamsul) tidak berterus-terang mengenai wujudnya lafaz taklik pada Jun lalu.

Peguam yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Aris berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kos kehadiran yang dituntut defendan sebanyak RM3,000 kerana menyifatkan proses perceraian yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu sudah menjimatkan masa semua pihak.

“Sepatutnya hari ini pihak kami ingin menarik semula permohonan membabitkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) yang difailkan Syamsul pada 19 Ogos lalu.

“Pihak saya juga sudah memfailkan notis penarikan semula kes yang difailkan. Bagaimanapun Ira yang hadir bersama peguam memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kepada mahkamah, namun Syamsul hanya perlu membayar RM200 kepada Ira,”  katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata pihak mereka akur dengan keputusan yang ditetapkan mahkamah. Jelasnya lagi, pihak mereka memohon kos kehadiran RM3,000 kerana menyusahkan pihak defendan iaitu Ira.

“Tujuan kami memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kepada plaintif kerana dianggap menyusahkan pihak defendan iaitu Ira selain plaintif tidak berterus terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu.

“Mahkamah sudah meluluskan dan memerintahkan kos sebanyak RM200 diberikan. Cuma saya nak katakan di sini saya kesal lafaz cerai sudah berlaku di luar mahkamah sebelum ini, tapi Syamsul memilih untuk membuat permohonan cerai bukan pengesahan lafaz taklik yang berlaku sejak 14 Ogos lalu.

“Sebab itu kami failkan di Kuala Selangor, sebab kalau Syamsul tidak failkan, Ira kena failkan. Berikutan itu ramai yang keliru. Jadi disebabkan itu hari ini pihak Syamsul menarik balik kes ini,” katanya.

Terdahulu, Syamsul dan Ira sah bercerai talak satu pada 5 September lalu. Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan lafaz cerai taklik sebanyak lima kali dibuat Syamsul terhadap Ira sejak 14 Ogos lalu.

Mahkamah mendapati Ira melanggar taklik dengan memuat naik hantaran di media sosial sekaligus jatuh talak ke atasnya.

SUMBER: Harian Metro

×