Sejak minggu lalu hangat diperkatakan mengenai Ifa Raziah dan lebih mengeruhkan keadaan apabila penyanyi itu mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan rasa kurang senang netizen.
Memetik Harian Metro, Ifa membuat permohonan maaf dalam program Terpaling Juara malam tadi dan enggan memanjangkan kontroversi terpalit dirinya.
BACA: “Buat Live Solat, Memang Saya Nak Menunjuk” – Ifa Raziah
“Secara eksklusifnya, hari ini, saya buat permohonan maaf secara langsung. Saya mohon maaf kepada seluruh umat manusia, tak kira di mana anda berada dan saya memaafkan juga orang-orang yang mengata saya.
“Memang niat saya, nak buat permohonan maaf ketika berada di pentas, tapi tak berkesempatan. Jadi, dapat buat di belakang pentas pun, tak apa. Alhamdulillah, ia dapat ditonton seluruh rakyat Malaysia yang menonton dan saya berharap, benda ini tidaklah berpanjangan lagi,” katanya.
Menurut Ifa lagi, permohonan maaf itu adalah ikhlas dari hatinya dan tidak langsung didesak oleh mana-mana pihak.
“Semua atas hati saya sendiri. Saya datang hari ini, nak cari rezeki. Pada saya, maaf itu satu benda yang baik dan mungkin ada hikmahnya. Tak perlu nak ego atau apa.
“Bila saya fikir yang saya pun dah berumur, saya tak mahu orang membenci saya. Kalau orang benci kita, rezeki itu macam tersekat-sekat dan macam tak ada rahmat,” katanya.
Dalam pada itu, Ifa berkata dia akan lebih berhati-hati selepas ini serta mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku. Ujarnya, sebagai manusia dia juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
“Saya dah lali dengan benda ini, tapi, sebagai manusia yang lemah dan buat kesilapan, kita kena lalui benda ini dan menjadi lebih matang.
“Di masa akan datang, kalau ada jemputan persembahan atau apa, sebab kita dah tahu orang tak suka, kita tak perlu muat naik apa-apa (ke media sosial),” katanya.