Trofi anugerah utama yang dimenanginya kemek selepas tiga hari menjadi miliknya, Bell Ngasri yang juga Bintang Paling Popular ABPBH 35 berkongsikan insiden tersebut.
Memetik Harian Metro, Bell berkata kejadian berlaku apabila trofi tersebut terjatuh di atas jalan raya ketika dia dalam perjalanan ke radio Hot FM pada hari Isnin.
BACA: Bell Ngasri Bakal Terima Kereta Import RM200,000
“Selepas diumumkan sebagai pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 35, saya dikehendaki datang ke stesen radio Hot FM untuk sesi temu bual. Saya diminta datang ke konti pada jam 7.30 pagi, tetapi disebabkan terlewat, saya sampai sekitar jam 8.15 pagi.
“Memandangkan sudah terlambat, saya menunggang motosikal dalam keadaan ‘menggelupur’ kerana mahu cepat sampai. Telefon bimbit pula berdering-dering,” katanya.
Menurutnya lagi, dia meletakkan trofi tersebut di dalam plastik dan berlaku kejadian tidak diingini apabila plastik berkenaan koyak sehingga trofi miliknya terjatuh.
“Dalam keadaan kelam kabut itulah beg plastik yang saya letak trofi koyak dan jatuh atas jalan raya. Bukan sahaja trofi, hati saya juga calar dan remuk selepas melihat trofi kesayangan bengkok.
“Saya sebenarnya tak tahu pun yang trofi ini sepatutnya dibungkus dan disimpan di dalam kotak, sebelum dibawa ke sana sini seperti dilakukan pemenang terdahulu. Inilah pengalaman pertama saya.” katanya.
Dalam pada itu, Bell yang terkenal dengan watak Barkoba itu berkaya ada pihak menawarkan bantuan untuk membaiki trofinya itu namun bimbang jika trofi miliknya dibawa lari.
“Ramai secara sukarela nak bantu saya untuk membaiki trofi, tetapi saya tak berani nak hantar sebab takut trofi lesap dibawa lari. Sudahlah nak dapatkannya payah, makan berpuluh tahun lamanya,” katanya.