Bekas pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, memberitahu dia sudah melepaskan keinginan untuk terus bergiat aktif di dalam industri filem mahupun drama.
Hans berkata keputusan itu dibuat kerana dia sudah tidak berminat serta tidak nampak masa depannya sebagai pelakon, penerbit mahupun pengarah.
BACA: Hans Isaac Bakal Bertanding PRU15?
“Tidak. Sudah tiada minat terhadap itu. Industri kita dimonopoli pihak-pihak tertentu. Saya sudah tidak nampak masa depan di sini. Semudah itu. Jadi saya pilih untuk tidak melakukannya lagi. Saya telah memilih jalan yang lain, sebagai usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, Hans berkata tidak semua penggiat seni menikmati kesenangan hidup dimana hanya segelintir sahaja mempunyai masa depan terjadi dan sejumlah besar akan terus hidup susah.
“Setiap industri ada rancangan dan jaminan ketika penggiatnya bersara pada umur-umur tertentu. Untuk pemain industri kreatif, itu tidak berlaku. Daripada 1,000 orang, mungkin 50 sahaja yang dapat menikmati kelebihan itu. Yang selebihnya akan terus susah sepanjang hidup mereka.
“Oleh itu, tiada gunanya kita mengejar sesuatu yang tidak menjanjikan kestabilan hidup lebih-lebih lagi selepas kita bersara nanti,” katanya.