Pelakon Hairul Azreen mendedahkan dia sentiasa berusaha untuk menyemai rasa cinta terhadap isterinya, Hanis Zalikha meskipun usia perkahwinan mereka bakal mencecah 10 tahun pada Jun depan.
Memetik Harian Metro, Hairul berkata sejak awal perkahwinan lagi dia akan menghantar mesej romantis buat isterinya setiap malam sebelum tidur dan pelbagai topik dibualkan antara mereka.
BACA: Hanis Zalikha, Hairul Azreen Bawa 30 Staf Melancong Ke Jepun
“Saya tetap mesej Hanis setiap malam sebelum tidur walaupun kami duduk sebumbung. Walaupun boleh saja berbual, saya tetap lebih suka hantar mesej.
“Kebiasaannya, waktu malam saya akan berada di bilik gimnasium di rumah, manakala Hanis bersama anak-anak. Ketika itulah saya ambil peluang untuk mesej dia.
“Kami memang kerap berbual mengenai macam-macam perkara seperti perniagaan, perancangan dan sebagainya. Tapi bagi saya, sebelum tidur sangat penting untuk luahkan apa yang saya rasa melalui mesej,” katanya.
Sementara itu, Hairul berkata dia bukan lelaki yang pandai meluahkan isi hati serta perasaan secara bersemuka dan perasaannya terhadap isteri seperti ketika mereka di awal bercinta.
“Mungkin ada yang anggap tak perlu dah nak cakap benda-benda manis sebab dia dah jadi isteri. Tapi bagi saya, walaupun dah hampir 10 tahun berkahwin, perasaan saya tetap macam awal bercinta.
“Hanis pun selalu balas mesej saya panjang-panjang. Bila bercakap mengenai keluarga, itu cara saya. Saya tak pandai cakap banyak, hanya mampu berikan yang terbaik saja,” katanya.
Hairul dan Hanis kemudian mendirikan rumah tangga pada 8 Jun 2015. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.
SUMBER: Harian Metro