Hafidz Roshdi Syukur Dapat Tawaran Berlakon

Pelakon Hafidz Roshdi meluahkan rasa syukur diberikan peluang kedua apabila menerima tawaran membintangi sebuah drama selepas hampir setahun tidak berlakon.

Memetik Kosmo, Hafidz berkata dia tidak menyangka syarikat produksi Global Station memberikan tawaran kepadanya dan berharap dapat kembali aktif dalam dunia lakonan.

BACA: Hafidz Roshdi Terkilan Dihina Kerja Penghantar Barang

“Alhamdulillah, saya seolah-olah diberikan peluang kedua apabila kembali menerima tawaran lakonan. Setelah setahun tak ‘shooting’, tak sangka Global Station sudi tawarkan saya berlakon drama Bawah Payung Awan untuk siaran saluran penstriman Viu.

“Diharap ini menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan sekali gus meraih kepercayaan stesen televisyen arus perdana,” katanya.

Sementara itu, Hafidz berharap pengarah dapat melihat bakatnya serta mengetepikan kontroversi terpalit dirinya sebelum ini serta dapat mencari rezeki dalam dunia seni.

“Harapan saya semua pihak terutama penerbit, pengarah serta penggiat seni dapat ketepikan soal kontroversi dan lihat bakat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz menyifatkan pekerjaan sebagai penghantar barangan sekarang merupakan terapi buat dirinya kerana sepanjang bergelar anak seni dia tidak bercuti panjang.

“Saya anggap kerja ini (p-hailing) sebagai cara ‘healing’ kerana sepanjang lapan tahun dalam industri seni saya jarang dapat bercuti panjang. Ada hikmah di sebalik pekerjaan ini yang membolehkan saya berjumpa ramai orang dan menenangkan diri selepas disahkan bipolar pada 2021,” katanya.

SUMBER: Kosmo

×