Firman AF Kesal Keluarga Dihina Miskin

Realiti bergelar selebriti tidak seperti yang dibayangkan, itulah antara yang diakui sendiri oleh Firman AF malah lebih teruk lagi, tindakan segelintir pengikut laman sosialnya turut mempersendakan keluarganya sebagai miskin.

BACA: Firman Tunai Hasrat Ibu Bapa Mahu Jejak Kaki Ke Tanah Suci

“Mengatakan keluarga saya miskin dan mempersoalkan tentang asal usul kami adalah kritikan paling teruk saya terima sejak bergelar anak seni. Saya tidak tahu mengapa perlu melibatkan keluarga sekiranya saya ada membuat sebarang kesalahan dan kenapa pula menjadikannya bahan jenaka”

“Saya tidak terfikir untuk ambil tindakan dengan apa mereka katakan kerana ia tidak akan membuatkan saya menjadi lebih baik. Saya kena kuat menghadapi cabaran sebagai anak seni dan perlu berusaha mengubah kehidupan saya tambahan pula saya bukan berasal dari keluarga senang,” katanya juara AF 2014 ini.

Menurut Firman walaupun dirinya kecewa dengan tohmahan tersebut namun dia sedar satu-satunya jalan untuk menghentikan perkara itu adalah dengan berusaha keras agar dapat meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga sekali gus membantu menaikkan namanya semula.

“Sebelum ini saya sering anggap kerjaya sebagai penyanyi ini cukup indah selain tetapi realitinya bukan begitu. Saya sedar menjadi penyanyi memerlukan saya sentiasa meningkatkan diri agar tidak ketinggalan kerana persaingan cukup hebat,” jelasnya kepada mStar Online. (rtky/s)

×