Fazura Tawar Bantuan Kepada Tunang Arwah Muhammad Adib

Pemergian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam insiden rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu bukan saja dirasai oleh keluaga dan tunangnya, malah seluruh rakyat Malaysia.

Sejak semalam, tular di media sosial kad kahwin pasangan tersebut dimana Arwah Muhammad Adib sepatutnya bernikah dengan tunangnya, Nurul Najihah Mohd Radzi, Jumaat ini. Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak melihat nama arwah Adib tertera pada kad tersebut dan sepatutnya beliau kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.

Menerusi Instagram, pelakon Nur Fazura turut meluahkan rasa sedih di atas kehilangan wira negara itu dan memberikan kata-kata semangat kepada Nurul Najihah. Dalam masa sama, Fazura bersedia menawarkan sebarang bentuk bantuan kepada Nurul sekiranya memerlukan.

“Khas kepada tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi, Faz doakan agar dikurniakan ganjaran kesabaran dan kekuatan dalam menerima pemergian insan yang tercinta semoga ketabahan itu menjadi contoh yang baik kepada Faz dan ramai lagi.

“Jika ada apa yang boleh Faz bantu untuk melalui dugaan ini, mohon dapat maklumkan Faz,” tulisnya.

Fazura turut menitipkan doa agar segalanya dipermudahkan dan semoga keluarga arwah Adib diberikan ketabahan dalam menghadapi ketentuan ini.

×