Pelakon Fattah Amin bersetuju memberikan hak penjagaan anaknya iaitu Nur Fatima Aisya kepada bekas isterinya, Nur Fazura.
Memetik Oh Bulan, peguam yang mewakili Fattah iaitu Puan Syamimi berkata keputusan itu dibuat selepas kedua-dua belah pihak bersetuju dengan terma yang telah ditetapkan.
BACA: “Dia Nyanyi Sampai Ke Indonesia” – Along Kamaludin Pertahan Nyanyian Fazura
“Untuk terma tuntutan hadanah, kedua belah pihak telah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan anak sepenuhnya kepada Fazura selaku ibu kandung,” katanya.
Syamimi berkata meskipun hak penjagaan jatuh sepenuhnya kepada Fazura, anak guamnya itu tetap mendapat hak lawatan bermalam dan lawatan harian.
“Untuk lawatan bermalam, Fattah diberikan hak sebanyak dua kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan Fattah iaitu jemput Fatimah pada hari Jumaat dan pulangkan semula pada hari Ahad.
“Fattah juga perlu memaklumkan dua hari sebelum minggu lawatan untuk bermalam dengan Fatimah. Manakala, untuk lawatan harian dan tanpa bermalam, Fattah dibenarkan untuk meluangkan masa bersama Fatimah sebanyak tiga kali seminggu,” katanya.
Sementara itu, selesai prosiding tersebut Fazura meluahkan rasa syukur kerana semuanya sudah selesai dan menyerahkan segalanya kepada peguamnya.
“Alhamdulillah, saya tak ada apa-apa yang mahu diulas. Saya serahkan semua pada peguam saya,” katanya.
SUMBER: Oh Bulan