Sebut saja nama Fattah Amin, pelakon ini sering membawakan watak romantis dan menjadi kegilaan ramai gadis. Meskipun sering dikritik ‘kayu’ ketika berlakon, namun kini ramai yang memuji lakonannya yang kini banyak peningkatan.
Sejak kebelakangan ini jarang sekali kita melihat Fattah di kaca televisyen dan seolah tidak begitu menyerlah. Bagaimanapun Fattah berkata dia memilih untuk memperlahankan lakonan drama selepas mendirikan rumah tangga.
BACA: “Zaman Fattah Amin Pelakon Kayu Dah Jadi Sejarah”
Katanya lagi, bukan dia tiada menerima tawaran berlakon tetapi dia kini lebih selektif dalam memilih naskah. Ujarnya lagi, dia tidak mahu membawa watak yang sama sahaja.
“Saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon ‘stereotype’. Rasanya, sudah cukup saya tampil dengan drama yang mengusik hati. Saya tahu penonton sukakan drama cinta yang membuai jiwa, tetapi sampai bila? Sebagai pelakon, saya mahukan karakter yang lebih menguji lakonan.
“Bukan tiada tawaran, sebaliknya saya lebih selektif. Saya pastinya takkan melepaskan tawaran sekiranya watak dan kisah yang dipaparkan berbeza.
“Saya tidak mahu mengambil watak sama. Mungkin saya hanya menerima tawaran satu drama setahun. Tahun ini, saya hanya muncul dalam drama Cetera Hati Diya siaran TV3. Saya mahu membuktikan saya mampu membawa watak yang berlainan,” katanya.
Fattah berkata dia kini memilih untuk beraksi di layar perak selepas filem KL Special Force, yang ditayangkan Mac tahun lalu, mendapat sambutan hangat.
Dalam pada itu, Fattah berkata dia akan membintangi beberapa filem lagi pada tahun 2020 sekaligus menafikan dakwaan mengatakan dirinya sudah tenggelam.