Pelakon Farid Kamil berkata dia tetap dengan pendiriannya untuk menyelamatkan rumah tangga dengan isteri tercinta, Diana Danielle.
Memetik Harian Metro, Farid berkata dia melihat masih ada harapan dan cinta dalam rumah tangga mereka yang sudah dibina 11 tahun.
BACA: Diana Danielle Nafi Terima 8 Cincin Daripada Farid Kamil
“Saya sangat positif. Kita sentiasa berfikir begitu kerana kita nampak, masih lagi ada harapan, masih ada tanggungjawab, masih ada masa depan dan masih ada cinta,” katanya.
Dalam pada itu, Farid berkata dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk memujuk hati isterinya itu dimana sudah lebih 10 kali percubaan dilakukan.
“Dari awal sampai sekarang, apa yang saya cuba buat adalah mempertahankan keluarga saya dan mempertahankan perkahwinan kami.
“Banyak dah usaha dan saya rasa, dah lebih 10 kali percubaan saya buat untuk berbaik semula. Tapi, kata orang, sentiasa ada halangan yang tak sepatutnya. Belum sampai waktunya dan waktu itu akan tiba. Insya-Allah,“ katanya.
Difahamkan, semalam selain prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka, turut berlaku prosiding sebutan pertama bagi kes nusyuz yang difailkan oleh pihak Farid pada 6 April lalu.
Tuntutan nusyuz dibuat berikutan Farid tidak dibenarkan pulang ke rumah dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.