Penyanyi wanita berasal dari Kelantan, Eda Ezrin, suami dan empat rakannya terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat memutuskan mereka bebas dari tuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November tahun lalu.
Memetik Sinar Harian, keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada Februari lalu.
BACA: Eda Ezrin Dijangka Dibebaskan Dari Penjara Narathiwat Hari Ini
Hakim menerusi hujah penghakimannya berkata, tiada bukti yang boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh.
Selain itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di juga tidak menunjukkan bahawa mereka membawa masuk kesemua dadah ke dalam bilik.
“Sebaliknya, ada tiga individu lain yang membawa masuk dadah tersebut ke dalam bilik keenam-enam tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, Eda bersama lima yang lain dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 baht atau RM526 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine.
Namun, mereka tidak perlu membayar denda tersebut kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Sementara itu, peguam yang mewakili mereka berkata Eda Ezrin, suami dan empat rakannya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda. Namun, pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan untuk keluar dan perlu berada di dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan. Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
SUMBER: Sinar Harian