Ebby Yus Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persilatan

Pelawak dan pelakon Ebby Yus menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persilatan yang telah berlangsung di Dewan Tun Fatimah, Hotel Riverside Melaka pada Ahad lalu.

Memetik Harian Metro, Ebby berkata pada awalnya dia menolak anugerah tersebut kerana merasakan ada yang lebih layak untuk mendapat anugerak berkenaan.

BACA: “Kekuatan Jantung Saya Hanya 27 Peratus Sahaja” – Ebby Yus

Malah, pelakon berusia 59 tahun itu berkata dia merasakan ilmu persilatannya tidak sampai ke tahap sehingga diberikan anugerah itu.

“Pihak mereka hantar surat dah dua minggu untuk pencalonan saya dalam Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persilatan tapi mulanya saya jawab secara baik menolak kerana rasa macam tak layak.

“Tapi rakan saya, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin tanya saya kenapa tolak. Mereka sebenarnya hubungi dia untuk dapatkan saya. Namun saya tetap jawab tak layak terima. Banyak lagi orang lain yang sepatutnya terima.

“Ustaz bagi sebab kenapa saya terpilih. Dari situ saya hubungi semula wakil penganjur, Dr Meor dan tanya atas kapasiti apa saya terpilih. Dia jawab saya sudah disenarai pilih oleh majlis Senat Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd pada mesyuarat Senat 12 Januari 2024.

“Saya dilihat paling sesuai dalam mengangkat silat dalam industri hiburan TV dan filem. Bila dengar, saya akui pernah jadi koreografer drama dan filem untuk silat,” katanya.

Ebby secara rasmi menerima gelaran Ijazah Kehormat Persilatan Sedunia iaitu Ijazah Doktor Persilatan (Honorary Doctorate of Martial Art) daripada Akademi Persilatan Sedunia (APS) yang disampaikan oleh Presiden Akademi Persilatan Sedunia Sdn Bhd, Profesor Dr Zainal Abidin Sakom.

Untuk pengetahuan, Ebby mula berjinak-jinak dengan seni mempertahankan diri sejak di bangku sekolah rendah lagi dan menyertai Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia.

SUMBER: Harian Metro 

×