Baru-baru ini penyanyi Haqiem Rusli mengejutkan ramai pihak serta peminat apabila mengumumkan mahu berkahwin menerusi IG Live pada pukul 2 pagi semalam.
Bakal bergelar suami dijangka hujung tahun ini, Haqiem berkata dia banyak membuat kajian di internet bagi menyiapkan diri sebagai ketua keluarga.
BACA: Baru Umum Kahwin, Ramai Mahu Taja Haqiem Rusli
“Saya bersedia dan tawakal sahaja. Ini perjalanan kita sebagai manusia yang sudah tertulis. Sebagai seorang lelaki saya cuba, nak cakap banyak pun saya sendiri belum masuk ke alam rumah tangga.
“Saya ada buat research sikit, banyak membaca macam mana nak jadi seorang suami baik dan bertanggungjawab. Ya mungkin agak besar di usia muda tapi saya akan usahakan,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Haqiem menjelaskan dia membuat pengumuman lebih awal bagi mengelakkan timbul sebarang fitnah dan baginya perkara baik perlu dikongsi.
“Saya tidak mahu jika nanti saya ambil ujian HIV atau buat persiapan perkahwinan da ada orang yang nampak akan menimbulkan cerita-cerita tak betul. Lebih baik beritahu awal-awal,” katanya/
Sudah menjalin hubungan sejak setahun lalu, Haqiem berkata bakal isterinya itu seorang yang memahami dan menerimanya dengan ikhlas.
“Dia seorang yang faham dan tahu baik buruk saya. Dia ikhlas sayangkan saya. Yang penting dia dapat bahagiakan saya. Saya tidak boleh dedahkan identiti sebab nak jaga privasi dia,” katanya.
Haqiem berkata lagi dia masih lagi mencari tarikh yang sesuai untuk majlis perkahwinannya dan sudah membuat persiapan sebanyak 40 peratus.