“Dia Bercakap Dalam Telefon Dengan Lelaki Lain Sampai Pagi”

Pelakon Edika Yusof berkata dia pernah memarahi isterinya sebelum ini namun menafikan dakwaan Nor Hidayah kononnya pernah dikasari.

Memetik Utusan Online, Edika berkata dia memberi isterinya kebebasan, malah antara mereka tiada rahsia dan apa saja yang dimahukan oleh Hidayah dia akan berikan.

BACA: “Selagi Hidup Saya Boleh Jaga Ibu” – Anak Edika Anggap Perceraian Jalan Terbaik

Sementara itu, Edika mendakwa dia turut menyedari isterinya  ada bercakap dalam telefon dengan lelaki lain sehingga pagi.

“Kadang adalah saya marah, tetapi tidaklah mendera dan sebagainya. Saya marah pun ha­nya untuk mendidik dia. Bahkan, antara kami tak ada rahsia, isteri saya pun boleh akses telefon bimbit saya, saya beri dia kebebasan, boleh keluar rumah dan kalau ada masalah, boleh mengadu kepada adik-beradiknya.

“Memang saya dengar dia ada bercakap dalam telefon dengan lelaki lain sampai pagi. Kalau saya nak cerita, banyak tetapi dia tetap mahu bercerai. Sebagai lelaki yang menyayangi dia, saya beri apa yang dimahukan,” katanya.

Dalam pada itu, Edika berkata dia bersetuju untuk menceraikan isterinya untuk kebaikan kedua pihak meskipun masih sayangkan Hidayah.

“Bila anda sayangkan seseorang, kemudian lepaskan dia, itu tidak bermakna anda tewas. Dalam perceraian ini tiada siapa menang sebab ini bukan pertandingan. Ini pengadilan, sebab mahkamah pun sudah nasihat demi kebaikan bersama.

“Pada saya, ia satu kebaikan, saya pun lega, sebab sebelum ini setiap hari risau sebab isteri desak untuk bercerai. Saya fokus sahajalah kerja saya dan teruskan kehidupan, tidak ada masalah. Saya ini lelaki, apa yang berlaku saya ‘telan’, hanya mampu mohon maaf dan luahkan pada tuhan sahaja,” katanya.

SUMBER: Utusan Online

×