Tiga tahun selepas pembikinan semula siri sains fiksyen popular ini dengan Rise of the Planet of the Apes, pengarah kali ini Matt Reeves datang dengan harapan untuk memberikan sesuatu yang lebih hebat buat peminat dengan sebuah filem sekuel, Dawn of the Planet of the Apes.
Filem dibuka dengan menunjukkan bagaimana bumi Amerika Syarikat teruk dilanda virus yang boleh kita lihat di hujung filem pertama, kita dibawa kepada Caesar (Andy Serkis) dan keluarga beruk (ape) yang telah menjadi satu komuniti di luar bandar San Francisco.
Satu satunya masalah dalam komuniti ini adalah Koba (Tony Kebbell), beruk pembenci manusia yang tidak habis habid mempersoal setiap keputusan yang dibuat Caesar sebagai seorang ketua. Situasi bertambah buruk apabila ada manusia datang ke kawasan mereka dan menembak salah seekor beruk dan mendatangkan kemarahan puak ape.
Daripada berbalas dendam, Caesar lebih berusaha untuk kekalkan keamanan dan membenarkan manusia untuk bekerja di empangan berhampiran yang diperlukan untuk menjana kuasa.
Pada awalnya, kumpulan manusia yang dilakonkan oleh Jason Clarke, Gary Oldman, Kodi Smit-McPhee, Keri Russell dan Kirk Acevedo nampak terlalu stereotaip dan apabila filem mula fokus di kem manusia, susah untuk memberikan perhatian kepada mereka kecuali watak dibawa Jason Clarke & Keri Russell yang bekerja rapat dengan Caesar dan keluarganya.
Jelas dari awal yang bintang utama dalam filem ini adalah golongan beruk (ape) & manusia lebih kepada watak antagonis yang kasual, lebih lebih lagi watak Gary Oldman. Sebagai penonton, susah untuk kita berpihak kepada mana mana puak dalam situasi begini.
Orang kanan Caesar, Koba menjadi penghasut untuk berperang selepas berjaya menembusi kem manusia dan menjumpai jumlah senjata api yang banyak.
Persembahan yang dibawakan Andi Serkis memberikan emosi dan perasaan yang mendalam terhadap hubungan beruk dan manusia sehingga kadang kadang boleh terlupa yang ianya memang beruk yang dilakonkan oleh manusia.
Grafik janaan komputer (CGI) dalam filem ini memang hebat dan ianya memang membantu dalam penceritaan kerana hampir keseluruhan filem ini adalah dalam CGI — seperti babak beruk memburu kijang untuk makanan — namun ianya nampak sangat real sehingga anda boleh tidak perasana ianya CGI. Rekaan produksi untuk persekitaran berbeza juga agak hebat yang kami kira lebih baik dari filem pertama.
Filem Dawn of the Planet of the Apes ini mempunyai babak epik yang agak banyak termasuk babak pertarungan namun tidak seperti filem pertama, ianya tidak tergantung dan memberikan harapan untuk filem ketiga walaupun secara nyatanya ia sudah pun dirancang. Selepas menonton filem ini, kami mula berharap yang siri filem ini bakal menjadi trilogi hebat seperti The Lord of the Rings & Star Wars. Tinggi harapan, heh.
KESIMPULAN
Jarang kita lihat filem sekuel menjadi hebat sebegini namun pengarahnya, Matt Reeves berbakat menjamin hasil yang cemerlang dan berkualiti selain disokong skrip yang kuat dan pelakon yang berjaya membawa watak masing masing dengan berkesan.
Kami berani berikan 4/5 BIJI ROTIKAYA! Dawn of the Planet of the Apes di pawagam seluruh Malaysia bermula 10 Julai ini dalam 3D!