Dakwa Disabotaj, Polis Tetap Teruskan Siasatan

Baru-baru ini seorang pelakon wanita telah ditahan kerana disyaki memiliki 53 biji pil dipercayai Erimin 5. Bagaimanapun selebriti berkenaan mendakwa penemuan dadah tersebut adalah kerana perbuatan sabotaj. Bagaimanapun, pihak polis masih meneruskan siasatan untuk mengetahui bagaimana dadah berkenaan boleh berada di dalam simpanan pelakon tersebut.

BACA: “Bila Aku Kantoi, Ramai Artis Penagih Jadi Penasihat”

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Roslan Khalid berkata, pihaknya kini menyiasat sama ada pil berbalut kerajang aluminium (aluminium foil) yang ditemui dalam beg tangan wanita itu adalah dadah atau sebaliknya.

“Susulan penemuan bahan itu bersama pelakon terbabit, kita perlu menjalankan siasatan terperinci mengenainya. Siasatan ini termasuklah untuk mengesahkan bahawa bahan itu dadah atau bukan, dengan menghantar bahan itu ke makmal”

“Hanya selepas mendapat keputusan ujian makmal, barulah kita akan menjurus kepada siasatan lain termasuk bagaimana bahan itu berada bersamanya, termasuk unsur sabotaj,” katanya kepada Harian Metro.

Dadah itu ditemui apabila pelakon jelita berusia 26 tahun itu dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 pagi, 7 April. Bagaimanapun, pelakon berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil. (rtky/s)

×