“Cukuplah Orang Tahu Saya Dah Berpunya”

Berdepan episod putus tunang sebelum ini sekaligs membuatkan pelakon Zara Zya lebih berhati-hati dalam berkongsi peribadi terutamanya kisah cintanya dengan jejaka yang baru dikenalinya beberapa bulan lalu.

Menurut Zara, cukuplah sekadar orang ramai mengetahui bahawa dia sudah pun berpunya namun belum masanya lagi untuk dia berkongsi lebih lanjut mengenai hubungan istimewa itu kepada umum.

BACA: Zara Zya Dah Jumpa Pengganti, Jihan Kata Abang Uniform

“Apa yang saya boleh cakap memang sedang mengenali seseorang tapi untuk bercerita mengenai hal lain seperti perkahwinan biarlah ia menjadi rahsia… sebabnya sekarang saya nak fokus bisnes dahulu.

“Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini… bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini. Kita rileks dulu, janji orang tahu kita dah ada (kekasih).

“Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada, kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap,” katanya kepada mStar Online. 

Baru sahaja membuka restoran miliknya, Zara berkata kekasihnya itu memberi sokongan penuh, malah turut memberi galakan kepadanya dalam karier lakonan meskipun bukan dari golongan dalam industri.

“Dia sangat menyokong dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar. Antara pesanannya, jangan mudah putus asa dan kalau ada yang mencela atau cuba menjatuhkan, abaikan sahaja!

“Malah, dia turut menyokong karier saya sebagai pelakon walaupun dia tiada kaitan dalam bidang seni, namun dia terbuka dengan banyak perkara,” ujarnya.

Zara pernah bertunang dengan pelakon Hafreez Adam pada 12 Oktober tahun lalu, namun, ikatan itu hanya bertahan tiga bulan sahaja.

×