Biskut Raya Uqasha Senrose Laku Keras, 200 Balang Terjual Sehari

Tidak membiarkan masa terbuang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Uqasha Senrose mengambil peluang dengan menjual biskut raya. Sekadar berkongsi cara membuat biskut Arab di Instagram, kini Uqasha tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan.

Menurut Uqasha, dia tidak terfikir untuk menjual biskut raya, tetapi ramai yang menghantar mesej di Instagram mahu menempah biskut tersebut. Ujarnya lagi, dalam sehari dia perlu menyiapkan hampir 200 balang biskut.

BACA: Luah Rasa Rindu, Kamal Adli & Uqasha Senrose Hangat Bercinta?

“Sejak beberapa hari lalu, saya tak menang tangan apabila tempahan diterima dalam mesej langsung IG bertubi-tubi. Bayangkan dalam sehari, saya perlu siapkan antara 100 hingga 200 balang biskut… Memang tak sangka.

“Mereka belum pernah merasa biskut itu tetapi yakin mahu membeli. Tidak terfikir langsung atau berniat hendak menjual. Tiba-tiba saya jadi penjual biskut raya,” katanya kepada BH Online.

Menggunakan resipi turun-temurun nenek moyang bagi menghasilkan biskut Arab diberi nama Something Sweet by The Four Sisters, Uqasha berkata pada awalnya dia berfikir panjang sebelum menjualnya kerana kos pembuatan biskut itu bukan murah.

“Pada mulanya, saya berkira-kira hendak menjual kerana kos menghasilkan biskut ini bukan murah. Fikir dua tiga kali hendak menjualnya. Tetapi saya terima banyak permintaan. Pada permulaan, tiga hari berturut-turut mesej diterima untuk menempah biskut.

“Jadi, saya putuskan menjualnya dengan stok terhad. Tak sangka ramai mahu terus membeli, bukan sebalang, malah enam hingga tujuh balang seorang,” katanya.

Dalam pada itu, Uqasha berkata dia terpaksa menolak tempahan dari Sabah, Sarawak dan Brunei memandangkan kos penhantaran tidak berbaloi dan bimbang biskut sampai dalam keadaan tidak sempurna.

×