Bella Astillah Bersalin Sendirian Tanpa Suami Disisi

Sedang menunggu hari untuk melahirkan cahaya mata kedua dijangka 17 Julai ini, Bella Astillah redha terpaksa memasuki dewan bersalin sendirian tanpa ditemani suami tersayang, Aliff Aziz.

Bakal menimang bayi perempuan, Bella berkata apa yang penting proses bersalin berjalan lancar. Meskipun berbulan tidak berjumpa kerana pintu sempadan masih lagi ditutup, namun Aliff tidak melupakan tanggungjawabnya.

BACA: Pintu Rahim Dah Terbuka 2 Cm, Bella Astillah Tetap Buat Majlis Hari Jadi

“Aliff tanpa gagal menghubungi setiap hari bertanya khabar mengenai saya dan anak, Ayden Adrean yang kini berusia tiga tahun.

“Kesibukan kerja juga menyebabkan saya tidak sempat melayan perasaan. Lagipun, saya tak bersendirian, ibu, ayah dan adik beradik sentiasa menemani. Jadi, saya tidak kesunyian atau sedih terpaksa melalui proses mengandung dan bersalin tanpa suami di sisi.

“Fokus saya hanya mahu proses bersalin berjalan lancar. Lagipun, saya sudah dewasa, tiada masa untuk terlalu banyak berfikir hal sedemikian. Sebaliknya, saya hanya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku,” katanya kepada BH Online.

Bella berkata dia tidak pernah mengeluh apabila pintu sempadan masih belum dibuka kerana keputusan kerajaan itu demi kebaikan rakyat. Ujarnya lagi, meskipun berjauhan namun dia tetap rasa dekat dengan suaminya.

“Walaupun berjauhan tidak bermakna Aliff melepaskan tanggungjawabnya. Kami berhubung setiap hari sama ada melalui panggilan suara dan video. Suami selalu mengambil berat mengenai saya dan bayi dalam kandungan.

“Saya akan mengikut sahaja keadaan, jika pintu sempadan di buka kembali, Alhamdulillah. Saya percaya ini semua dilakukan untuk kebaikan, jadi tak perlu untuk saya mengeluh,” katanya.

×