Muncul dengan single terbaru berjudul Jauh Hati, penyanyi Shila Amzah berkata lagu tersebut mengisahkan mengenai pengalamannya bercinta dengan beberapa lelaki yang diluahkan dalam single berkenaan.

Memetik Kosmo, Shila turut mendedahkan semua hubungan cinta yang dilaluinya memberikan pengalaman buruk buat dirinya.

BACA: Netizen Tak Puas Hati Shila Amzah Dapat Tempat Ketiga GV9?

“Lagu ini bukan tentang ‘ex’ (bekas suami) tetapi yang kemudian-kemudiannya juga. Perhubungan saya sebelum berkahwin dan bahkan selepas berkahwin (tapi enggan cerita lebih tentang itu), semuanya memberikan pengalaman buruk,” katanya.

Ditanya ada kemungkinan bekas suaminya kurang senang dengan ciptaan lagu tersebut yang turut menyentuh tentang kegagalan rumah tangga mereka, Shila berkata bekas suaminya sepatutnya merasa bangga.

“Tak adalah. Takkan dia nak rasa tak puas hati. Mungkin dia kena Google banyak-banyak kalau nak dengar lagu ini. Dia sepatutnya berbangga sebab, siapa lagi nak tulis lagu pasal dia. Sudah-sudahlah nak sentap. Dah berakhir dah pun (perkahwinan).

“Saya sangat terbuka dan tiada benda yang membuatkan saya rasa takut lagi. Dia (bekas suami) tahu saya macam mana dan dia tahu yang saya memang menulis. Sesiapa yang bersama saya patut tahu fakta tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Shila berkata mereka yang mengenali dirinya terutama orang terdekat tahu apa yang terjadi sehingga perkahwinannya dengan bekas suami berakhir.

“Akan ada lagu tentang anda, kalau anda buat sesuatu. Saya harap dia faham. Famili dia tahu. Mereka semua tahu apa yang benar-benar terjadi.

“Melainkan tiada siapa tahu apa terjadi sebelum ini dan tiba-tiba lagu ini keluar, itu mungkin saya kena terangkan. Jadi, disebabkan ramai tahu apa yang terjadi (sehingga kami bercerai), saya tak rasa benda ini akan jadi isu,” katanya.

Kongsi Shila lagi, lagu Jauh Hati itu ditulis oleh penyanyi itu sebelum dia meninggalkan rumah bekas suami bersama anaknya, Seth Uwais.

Terdahulu, Shila sah bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Seth Uwais kini berusia 3 tahun.

×