Bekas Isteri Syukur, Sam Bunkface Diarah Bayar Tunggakan Nafkah Anak

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor hari ini mengarahkan vokalis kumpulan Bunkface, Sam membayar tunggakan nafkah anak kepada bekas isteri, Aida Azira berjumlah RM4,668 dalam tempoh 12 bulan.

Memetik BH Online, keputusan itu dibuat selepas mendapati Sam gagal membayar nafkah sebanyak RM1,300 sebulan kepada bekas isterinya itu secara konsisten.

BACA: Bekas Isteri Sam Bunkface Tak Setuju Nafkah Anak Dikurangkan

Peguam syarie yang mewakili Aida, Muhammad Hafiz Hood berkata Sam tidak membayar jumlah penuh seperti yang dipersetujui oleh mahkamah sebelum untuk enam bulan.

“Jumlah RM4,668 bagi tunggakan selama enam bulan antara tempoh April sehingga September 2021 iaitu berjumlah RM778 sebulan.

“Jadi, Sam perlu membayar tunggakan selama enam bulan. Oleh itu, mahkamah hari ini mengarahkan Sam perlu membayar nafkah seperti dipersetujui dalam perintah mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Aida meluahkan rasa syukur keputusan berpihak kepadanya serta berharap kes pindaan tuntutan jumlah naflkah anak akan berakhir dengan baik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan, hari ini. Saya minta maaf, itu sahaja yang boleh saya dikongsikan,” katanya.

Untuk rekod, Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida yang juga penerbit di sebuah stesen televisyen pada 25 April 2015, namun bercerai selepas empat tahun berkahwin.

×