Membuat keputusan untuk berhijab penuh pada 11 Syawal lalu, rata-rata netizen memanjat rasa syukur dengan imej terbaru Kilafairy yang mahu membuka lembaran baru pada tahun 2020 serta membuang imejnya yang seksi sebelum ini.
Keputusan Kilafairy itu tentunya merupakan perkhabaran gembira buat ibu bapanya. Menerusi satu perkongsian di YouTube, Kilafairy berkongsikan reaksi bapanya apabila mendapat tahu dirinya sudah berhijab.
BACA: Mula Berhijab 11 Syawal, Kilafairy Mohon Doa Agar Istiqamah
Pada awalnya bapanya mengusik apabila melihat anak gadisnya bertudung, tetapi kemudian tersenyum lebar serta meluahkan rasa syukur apabila Kilafairy memberitahu bahawa dia sudah berhijab sepenuhnya.
Kilafairy berkata dia melihat bapanya kelihatan sebak ketika mereka berpelukan sebaik sahaja memaklumkan mengenai penghijrahannya itu. Menerusi video itu, Kilfairy meluahkan rasa syukur kerana sempat menggembirakan ahli keluarganya dengan imej terbaharu itu.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Kilafairy juga dilihat sudah pun memadam semua gambar yang memperlihatkan rambutnya.
Terdahulu, Kilafairy berkata keputusannya itu adalah kerana Allah dan bukan paksaan oleh sesiapa. Ujarnya, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berhijab tetapi mahu perlahan-lahan membuang imej seksi terlebih dahulu.