Banyak Kontroversi, PU Abu Rasa Tak Layak Digelar Ustaz

Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan merasakan dirinya tidak layak untuk digelar ustaz berikutan sering terpalit dengan kontroversi sebelum ini.

Memetik Kosmo, PU Abu berkata dia mengakui tidak selesa digelar ustaz, tambahnya lagi gelaran tersebut datang dengan tanggungjawab yang besar.

BACA: PU Abu Bahagia Amal Poligami, Syukur Dapat Satukan Semula Dua Isteri

“Saya Abu, saya bukan ustaz. Saya bukan ustaz dan tidak selesa digelar ustaz, saya lebih suka kalau orang panggil Abu atau Abu Sufyan.

“Bila ada gelaran, ibarat tak boleh buat dosa dan kena maksum. Saya akui memang berat. Jadi ini adalah saya, bukan ustaz atau PU (Pencetus Ummah),” katanya.

Sementara itu, PU Abu berkata gelaran yang pernah diperolehnya itu bukan anugerah sebaliknya ujian besar untuk dirinya kerana dia perlu menjaga gelaran tersebut.

“Ketika saya mendapat gelaran tersebut daripada sebuah rancangan televisyen, saya sedaya upaya menjaga gelaran itu.

“Ini kerana saya lihat gelaran itu hakikatnya sebagai ujian besar untuk saya ‘membawanya’ melalui kehidupan, bukan satu anugerah.” katanya.

Dalam pada itu, melihatkan ramai di kalangan ustaz terpalit kontroversi termasuk dirinya sendiri, PU Abu menyifatkan golongan ustaz juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada dosa.

“Mereka (ustaz) manusia biasa seperti insan lain yang tak terlepas daripada melakukan kesilapan dan terkhilaf. Setiap manusia,ujiannya berbeza-beza tidak kiralah dia seorang ustaz, ilmuan agama mahu pun insan biasa,” katanya.

Difahamkan, PU Abu kini bertugas sepenuhnya sebagai Pengurus Operasi Arab Saudi bagi syarikat Persada Global Holidays dan banyak berada di Mekah dan Madinah atas tuntutan kerja.

×