Balu Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah berharap adik iparnya, pelawak Ali Puteh tidak melengahkan urusan pembayaran seperti yang diperintahkan mahkamah.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Hidayah meluahkan rasa syukur keputusan rayuan mahkamah berpihak kepadanya serta meminta Ali patuh dengan perintah berkenaan.
BACA: Mahkamah Tolak Rayuan Ali Puteh, Kekal Bayar Saman RM60,000 Kepada Kakak Ipar
View this post on Instagram
“Alhamdullilah syukur pada Allah, keputusan rayuan mahkamah telah diputuskan, juga telah memihak kepada saya.
“Semoga pihak di sana tidak melengah-lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hidayah turut mendoakan agar dia bersama anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah dapat meneruskan kehidupan lebih baik selepas ini serta berterima kasih buat yang mendoakan mereka.
“Semoga saya dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna selepas ini. Amin. Terima kasih semua yang mendoakan saya dan Hamzah,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya berhubung bayaran ganti rugi saman fitnah terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah.
Ali Puteh dan tiga keluarganya diperintah membayar RM60,000 kepada balu Allahyarham Abam Bocey pada 18 Februari lalu kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu.