Bacaan Al-Quran Hampir Sempurna, Fathia Latiff Dipuji Netizen

Pelakon Fathia Latiff mendapat pujian daripada netizen apabila tampil dalam satu program mengaji di sebuah program televisyen dengan mentadabbur al-Quran, surah Saba ayat 33.

Menerusi perkongsian di Instagram Tazkirah Malam Jumaat, Fathia berkata dia rasa lebih tenang apabila mendekatkan diri dengan Al-Quran.

BACA: Fathia Latiff Terkilan Tiada Tawaran Berlakon

“Fathia rasa bulan Ramadan ini lebih baik kalau ikuti program sebegini sebab dapat lebih menenangkan hati. Saya rasa lebih berkat kalau buat program sebegini lagi-lagi dah 10 malam terakhir Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Fathia berkongsikan setiap minggu dia menyertai kelas bacaan Al-Quran apabila ditanya bacaannya lancar dan hampir sempurna.

“Fathia ada guru, datang setiap hari Jumaat dengar taklimat dan ada kelas mengaji jadi kiranya memang setiap minggu lah Fathia akan baca al-Quran,” ucapnya.

Dalam pada itu, Fathia sempat meluahkan rasa sedih kerana Ramadan kini sudah berada di penghujung serta berharap diberi kesempatan untuk Ramadan akan datang.

“Sebenarnya akhir bulan Ramadan, saya rasa sebak dan sayu sebab bulan mulia ini dah nak habis tanpa kita sedari tapi Fathia mengharapkan kita dapat jumpa bulan Ramadan pada tahun hadapan dan sama-sama kita ambil iktibar daripada pengajian-pengajian yang pernah kita ikut,” katanya.

Diruangan komen, rata-rata netizen memuji bacaan Fathia yang dilihat begitu lancar serta berpendapat bahawa pelakon itu sentiasa membaca al-Quran.

×