Azmi Saat Belum Sedia Ambil Anak Angkat, Isteri Mahu Cuba Hamil Lagi

Penyanyi Azmi Saat yang juga vokalis kumpulan Caliph Buskers berkata dia dan isterinya, Nazira Muhammad tidak mempunyai perancangan untuk mengambil anak angkat.

Azmi berkata mereka masih berpeluang untuk mencuba mendapatkan zuriat sendiri dan pernah mencadangkan kepada isteri untuk membuat rawatan kesuburan intrauterine insemination (IUI) namun ditolak.

BACA: Isteri Azmi Saat Masih Emosi, Menangis Dalam Bilik Air Teringatkan Arwah Anak

“Buat masa sekarang belum terfikir nak ambil anak angkat. Dulu saya pernah tanya kepada isteri, dia boleh kalau boleh tak nak sebab kita masih berpeluang ada anak sendiri.

“Banyak juga pengalaman orang dah ambil anak angkat baru beberapa bulan, tiba-tiba mengandung pula. Jadi, takut nanti terbahagi kasih sayang.

“Sementara ada peluang lebih baik kita cuba. Saya cakap dekat isteri kalau nak cepat kita buat rawatan IUI. Tapi dia suruh tunggu sebab takut nanti dah buat tak menjadi lagi kecewa,” katanya kepada mStar Online.

Berkongsi lebih lanjut, Azmi berkata raya tahun ini seperti kebiasaan akan menziarahi pusara arwah anak mereka seperti yang dilakukan isterinya setiap minggu.

“Tahun ini beraya di Terenggany kampung isteri selama tiga hari selepas itu di kampung saya pula di Johor. Kami naik kapal terbang balik kampung.

“Saya rasa suasana raya sama saja sebab lagipun dah berapa bulan arwah meninggal dunia. Tak ada kaitan dengan raya, tapi boleh kata setiap minggu nak kena pergi kubur anak, nak lepas rindu.

“Isteri kata dah boleh terima kehilangan tapi perasaan rindu saja tak boleh hilang. Kami pun tak pernah rasa beraya dengan anak, jadi tak ada apa la,” katanya.

×