Hari ini industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan berita pemergian pelakon Ashraf Sinclair yang meninggal dunia kira-kira jam 4.15 pagi tadi selepas mengalami serangan sakit jantung.
Malah, ramai yang merasa kehilangan di atas pemergian pelakon itu. Siapa sangka, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang pemurah ketika hayatnya dan banyak memberikan sumbangan kepada rumah anak yatim.
BACA: Wajah Duka Bunga Citra Lestari, Hanya Air Mata Sambut Ucapan Takziah
Malah, Allahyarham merupakan penderma tetap Yayasan Yatim Piatu Daarul Rahman di Jakarta, Indonesia.
Perkara itu didedahkan oleh pengurus yayasan tersebut, H Ahmad Habib yang memaklumkan penghuni yayasan tersebut turut rasa kehilangan di atas pemergian insan pemurah itu.
“Dia kerap datang ke situ. Setiap kali datang, dia akan memberi sumbangan kepada kami. Kali terakhir dia datang ialah dua bulan lalu. Ketika itu dia nampak sihat.
“Mereka tak percaya dia sudah pergi. Ia terlalu cepat. Ashraf sangat baik hati dan kerap bertegur sapa. Kami merasa sangat kehilangan apabila mendapat berita ini,” katanya.
Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamad Sinclair, 40 tahun meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair kini berusia 10 tahun.