Arwah Siti Sarah Muncul Dalam Mimpi, Watie Akui Cemburu

Isteri kepada pelawak dan usahwan Shuib iaitu Watie Hanifiah berkongsikan dia bermimpi bertemu dengan Allahyarham Siti Sarah baru-baru ini.

Memetik Harian Metro, Watie berkata dia tidak menyangka timbul rasa cemburu kerana risau arwah mahu bersama dengan Shuib dan anak-anak semula.

BACA: Shuib Mimpi Arwah Siti Sarah Sampai Menangis, Watie Tak Rasa Cemburu

“Baru-baru ini, saya ada mimpikan arwah Sarah. Dalam mimpi itu hanya ada saya, arwah dan abah (Raisuddin Hamzah). Tapi, arwah hanya berdiam diri dan melihat saya.

“Dalam mimpi itu, wujud satu perasaan risau, adakah dia kembali untuk ambil semula haknya iaitu Shuib dan anak-anak. Masa itu memang dalam hati rasa begitu, tapi saya sorok perasaan itu.

“Sebelum tegur dan tanya pada arwah, ‘tak mahu jumpa anak-anak ke? Mereka rindu’. Arwah tak balas tetapi hanya memandang saja,” katanya.

Sementara itu, Watie berkata mimpi tersebut mungkin muncul selepas perempuannya, Dzahira Talita Zahra memberitahu turut bermimpi arwah Siti Sarah serta tidak sangka timbul rasa cemburu.

“Itu pertama kali saya terfikir bahawa dalam mimpi pula yang ada perasaan risau itu. Secara realitinya tak cemburu pun, tapi dalam mimpi pula cemburu.

“Selepas cerita pada Shuib dan tanya dia kalau disuruh buat pilihan, dia pilih siapa? Dia hanya diam dan kata mengarut saja. Kemudian kami berborak banyak benda mengarut, bergelak ketawa tapi jangan risau semuanya okay saja,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×