Kerjasama dan semangat setiakawan di antara ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang terjalin sejak dahulu lagi ternyata banyak membantu kestabilan serantau ketika menghadapi pelbagai masalah.
Mimpi ngeri yang disebabkan pandemik COVID-19 tatkala negara diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kali kedua memberi ruang kepada ekonomi APEC untuk bersatu di dalam mencari penyelesaian dan menstabilkan ekonomi di Asia Pasifik.
Jika dilihat ketika pemimpin ekonomi APEC bertemu di Manila pada 2015, dunia dicengkam ketakutan berikutan serangan pengganas di Paris dan Beirut. Tetapi ini tidak melemahkan semangat pemimpin yang terus berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi global sekali gus mengangkat rakyat dari kepompong kemiskinan.
Kaum wanita tidak pernah dilupakan di hampir setiap persidangan. Peranan golongan ini di dalam perkembangan ekonomi sentiasa dihargai dan ekonomi-ekonomi APEC sentiasa mencari jalan untuk terus memperkasakan peranan mereka.
Tahun lalu di Chile, pemimpin ekonomi APEC berusaha melibatkan kaum wanita, meruntuhkan penghalang di hadapan di dalam memastikan penglibatan mereka meliputi kepimpinan serta akses kepada pasaran dan modal.
Turut diberi fokus ialah ekonomi digital dan hubungan serantau dan sebagai satu kumpulan yang meraikan kepelbagaian, APEC telah berusaha ke arah perdagangan dan pelaburan terbuka di Asia Pasifik yang dipersetujui di Bogor, Indonesia pada 1994.
Ternyata apa yang dibincang dan dipersetujui ketika itu sedikit sebanyak membantu menstabilkan ekonomi APEC di dalam menghadapi pandemik COVID-19 terutama di dalam bidang ekonomi digital.
Ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kali pertama pada 1998, dunia menghadapi satu detik kritikal di mana banyak negara terkesan dengan krisis kewangan yang genting.
Para pemimpin ketika itu berikrar untuk terus bekerjasama menghentikan kemelesetan ekonomi global.
Tindakan bijak kerajaan ketika itu berjaya membawa Malaysia keluar dari kemerosotan ekonomi.
Keputusan pada masa untuk menambat mata wang ringgit kepada dolar Amerika telah menggalakan pelabur asing datang dengan kadar tukaran asing tetap dan menghalang spekulasi ke atas mata wang negara.
Tindakan ini telah menyelamatkan Ringgit Malaysia dari terus menggelongsor justeru menamatkan krisis kewangan.

Pemimpin-pemimpin ekonomi APEC komited untuk menumpukan usaha dalam merangka dasar bersama bagi menjana semula ekonomi di rantau ini.
Kini ketika Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada APEC 2020, dunia dikejutkan pula dengan COVID-19 yang telah meragut nyawa lebih sejuta penduduk dunia.
Ini tidak mematahkan semangat sekretariat APEC iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bekerja keras siang dan malam bagi menjayakan persidangan.
Pihak MITI bekerjasama rapat dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk memastikan mesyuarat-mesyuarat and forum-forum berkaitan berjalan dengan lancar.
Walaupun dianjurkan dalam alam maya, APEC 2020 tetap memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia untuk mejayakan persidangan tersebut.
Kali ini, sesuai dengan keadaan semasa, Malaysia berusaha untuk merealisasikan platform perkongsian maklumat digital yang dipanggil APEC COVID-19 LIVE.
Platform yang dibentang di Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 September lalu bertujuan meraih campur tangan dasar, langkah-langkah, program dan inisiatif yang diguna pakai ekonomi APEC untuk menangani krisis kesihatan yang semakin meruncing ini.
Selain itu, turut disenaraikan di dalam agenda adalah bagaimana ekonomi APEC harus menghadapi era yang mencabar ini.
Pegawai-pegawai tertinggi dan para cendikiawan sering bertemu di dalam mesyuarat dan forum secara maya sejak awal lagi bagi membincangkan cara-cara menangani krisis ketika para saintis berlumba-lumba menghasilkan vaksin.
Di dalam kekalutan waktu yang tidak menentu, mereka tetap berkumpul untuk mencari jalan meneruskan kelangsungan hidup di zaman yang penuh mencabar.
Memang tidak dapat dinafikan dengan gelombang terbaharu melanda dunia, COVID-19 telah membantutkan perkembangan ekonomi tetapi mujurlah persidangan sebelum ini telah memikirkan mengenai inovasi dan teknologi digital yang banyak membantu norma baharu bekerja dan belajar dari rumah.
Seorang kakitangan swasta yang mencapai usia 55 tahun pada bulan April lalu bimbang pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beliau kerana banyak pejabat ditutup.
Bayangkan terkejutnya beliau apabila mendapat panggilan dari KWSP memintanya ke mana-mana pejabat KWSP terdekat untuk menandatangani surat pengeluaran sekali gus membuktikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang mana-mana pihak dari menjalankan tugas seperti biasa.
Ketika negara menghadapi PKP pertengahan bulan Mac lalu, ekonomi terjejas teruk tetapi ini tidak menggangu persediaan mesyuarat-mesyuarat APEC.
Ramai pegawai MITI juga turut terlibat dalam usaha-usaha untuk mengenalpasti dan memantau industri-industri yang beroperasi semasa PKP. Para pegawai MITI berkerja siang malam, termasuk hari Sabtu dan Ahad, untuk memastikan misi mereka tercapai.

Kejayaan Malaysia dalam penganjuran APEC 2020 turut diabadikan melalui lukisan mural hasil tangan artis tempatan
Bagaimanapun, persidangan kali ini dikatakan paling mencabar kerana banyak penyelesaian yang dicari di dalam menghadapi pandemik.
Masih banyak yang perlu dilakukan untuk menghadapi cabaran masa depan. Berakhirnya pandemik suatu hari nanti tidak bererti semua masalah selesai.
Akan tetapi persidangan kali ini telah melangkaui masa dan jangkaan. Selari tema APEC 2020 iaitu Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran, sebarang usaha yang dilakukan oleh ekonomi-ekonomi APEC akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat.
Pemimpin-pemimpin anggota APEC komited untuk menumpukan perhatian dan usaha dalam merangka dasar bersama bagi menjana kesan positif dan lestari demi melonjak tarak kehidupan rakyat mereka.
Dan berdasarkan apa yang telah dibincangkan and dipersetujui oleh para pemimpin ekonomi-ekonomi APEC tahun ini, semoga ekonomi Asia Pasifik dan dunia akan kembali pulih tahun hadapan.