Anak Alami Speech Delay, Tasha Manshahar Kurangkan Penggunaan Gajet

Penyanyi Tasha Manshahar berkongsikan perkembangan anak sulungnya, Muammar Rafiqi pernah mengalami masalah speech delay ketika berusia setahun enam bulan.

Menerusi satu entri di Instagram, Tasha berkata dia mengakui bimbang apatah lagi anaknya itu tidak boleh menyebut perkataan bermakna seperti mama dan susu.

BACA: Suami Basuh Pinggan, Tasha Manshahar Rasa Serba Salah

“Pernah masa pergi check up setahun enam bulan, doktor tanya perkataan apa saja dia dah sebut. Saya kata, tak ada. Sebab memang tak ada. Dia buat bunyi, tapi tak ada perkataan bermakna.

“Apa maksud perkataan bermakna? Contoh anak sebut ‘mama’ dan mama tu memang dia tujukan untuk ibu dia. Bukan semua benda mamamamamama. Tu tak dikira perkataan bermakna.

“Contoh lain, susu. Contoh dia sebut ‘shu’ walaupun pelat, tapi dia sebut bila dia nak susu. Dan kita faham perkataan ’shu’ tu dia maksudkan susu. Tu dikira perkataan bermakna,” katanya.

Kata Tasha lagi, dia juga pernah pertimbangkan nasihat doktor untuk membawa anaknya itu bertemu dengan pakar terapi.

“Secara umum, setahun enam bulan anak dah mula sebut beberapa perkataan bermakna. Tapi Muammar langsung tak ada masa tu. Lagi pula doktor tanya kalau kami nak dia buatkan surat rujukan ahli terapi.

“Sebagai ibu kali pertama, tipulah kalau tak risau. Tp at the same time, tak adil untuk Muammar kalau saya in denial. For me, if kita betul sayang anak kita, kita patut bagi peluang untuk dia dapatkan bantuan kalau dia memang perlukan. Itu hak dia,” ujarnya.

Bagaimanapun, selepas berbincang dengan suami, Raqib Majib, Tasha berkata mereka mahu memberi masa untuk melihat keadaan anak mereka sehingga mencecah usia dua tahun. Tasha turut meluahkan rasa syukur mengenai perkembangan anaknya kini sudah boleh membuat ayat lengkap.

“Jadi daIam tempoh ni kami kurangkan gajet and banyakkan komunikasi dengan dia. Alhamdulillah, masa umur dua tahun dah mula ada perkataan bermakna.

“Kami sambung lagi usaha dan seingat saya masa dia nak masuk dua tahun enam bulan, dia dah boleh gabung dua hingga tiga perkataan.

“Lambat sikit kan? Tapi ada progress Alhamdulillah. Ni dah nak masuk tiga tahun Jun 2022, masyaAllah tabarakAllah, dah boleh buat ayat lengkap, dah boleh buat kawan borak,” katanya.

Tasha mendirikan rumah tangga dengan Raqib Majib pada 8 September 2018 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muammar Rafiqi, 3 tahun dan Mateen Rizqi kini berusia tujuh bulan.

×