Tahniah diucapkan buat penerbit A. Aida dan penyanyi Ameng apabila anak perempuan mereka, Wan Az Aleesa selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Zain Azrai Abdul Aziz pagi tadi.
Memetik mStar Online, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ameng disaksikan oleh Penolong Pendaftar dan Imam Genting Highlands, Fawwaz Zarin Che Lah.
BACA: “Penonton Sendiri Mahu Pelakon Yang Lawa, Hensem” – A. Aida
Dalam majlis yang diadakan di Kasturi D Manggis, Janda Baik, Pahang itu, Aleesa menerima mas kahwin RM22.50 serta wang hantaran RM25,000 dan seutas gelang emas.
Sementara itu, Aleesa meluahkan rasa syukur majlis pernikahan mereka berjalan lancar dan selepas ini dia akan tinggal berjauhan memandangkan dia akan ke Indonesia untuk melanjutkan pelajaran.
“Syukur semua yang dirancang menjadi kenyataan dan majlis berjalan lancar. Selepas bergelar isteri saya akan ke Indonesia bagi meneruskan kuliah di sana. Jadi kami tidak merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat.
“Kami kena jadi pasangan jarak jauh sebab komitmen masing-masing. Walaupun berat tapi kami kena kuat untuk kebaikan masing-masing,” katanya.
Lebih istimewa dalam majlis pernikahan mereka, ucapan simbilik pelepasan 50 ekor burung merpati dilakukan sebaik sahaja selesai majlis.
Dalam pada itu, A. Aida turut menzahirkan rasa syukur dan hiba apabila anaknya itu sah bergelar seorang isteri.
“Akhirnya mama terpaksa lepaskan Aleesa juga kepada orang lain yang akan menjaga awak nanti. Terima kasih Aleesa kerana menjadikan mama seorang wanita sempurna sebagai ibu,” katanya.