Tiada angin tiada ribut, hangat diperkatakan di media sosial mengenai pasangan pempengaruh, Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah didakwa seleweng kutipan derma.
Menerusi perkongsian tular dikongsikan di Facebook Pseudoscience Watch (PW) atau PW Community mendakwa pasangan pempengaruh yang terkenal dengan memberi kata-kata motivasi menyalahgunakan saluran kutipan derma atas tujuan peribadi.
BACA: Aisyah Hijanah Selamat Bersalin, Aliff Teega Sambut Sendiri Kelahiran Anak Ketiga
Menurut PW Community, pasangan itu pernah menggemparkan satu Malaysia apabila si suami pernah mencipta kontroversi dengan memadukan isteri pada tahun lalu.
PW Community juga mendakwa ramai yang tersentuh apabila isteri yang sedang hamil didakwa menjadi mangsa aniaya sewaktu itu. Walau bagaimanapun, Aliff menafikan dakwaan berkenaan.
“Madu Dua The Teaser. Isu utama adalah kutip derma untuk kepentingan peribadi. Hampir setiap bulan ada sahaja program kutipan derma untuk tujuan berbeza. Sanggup cipta kontroversi madukan isteri untuk publisiti dan simpati.
“Awam cukup senang tersentuh dengan isteri teraniaya, dan makin lebatlah kutipan derma,” dakwa PW Community.
Dakwa PW Community lagi, penyelewengan itu hanya diketahui oleh individu yang pernah terlibat dengan mereka seperti bekas pekerja butik, personaliti media sosial, pembekal tudung dan sebagainya.
Dakwa perkongsian itu lagi, hasil jualan tudung yang diambil daripada pembekal juga dikatakan tidak mampu menampung kemewahan mereka seandainya kesemua tudung habis terjual.
“Pekerja yang persoal audit kutipan derma akan dibuang serta-merta,” dakwa perkongsian itu.
SUMBER: PW Community, Ohmedia