Pelakon Aishah Azman berpendapat setiap artis yang berhijrah ke arah lebih baik dengan menutup aurat perlu berpegang pada niat serta membuang tanggapan bakal tiada job.
Memetik Utusan Online, Aishah berkata sebagai manusia seharusnya percaya bahawa rezeki itu adalah daripada Allah dan menutup aurat tidak menjadi penyebab rezeki hilang.
BACA: Aishah Azman Tak Fobia Bercinta, Nak Lelaki Berpendidikan Tinggi
“Rezeki dari Allah, rezeki itu luas. Tak akan jadi penyebab kalau tutup aurat semua punca rezeki kita tertutup. Mungkin ada sebab atau dosa lain yang buat rezeki kita tertutup. Jadi kenapa perlu salahkan perkara baik yang kita buat? Tak masuk akal.
“Selalulah bersangka baik dengan Allah. Insya-Allah, yang baik-baik juga akan datang pada kita,”katanya.
Dalam pada itu, Aishah meluahkan rasa syukur dari saat dia membuat keputusan untuk berhijab dia tidak merasakan ianya beban.
“Sejak hari pertama, sehinggalah ke hari ini saya pakai tudung, Alhamdulillah tak pernah rasa bertudung itu beban. Tetapi saya selalu tanamkan dalam diri yang menutup aurat itu perintah Allah.
“Jadi, automatik diri ini jadi takut nak persoalkan apa yang diperintah Maha Pencipta kita. Tak ada Dia, tak akan wujud kita semua dekat dunia ini. Siapa kita nak pertikaikan perintah Dia sedangkan banyak sangat nikmat yang Dia bagi dekat kita.
“Kalau kita fahamkan sudut baiknya bila menjaga aurat ini, Masha-Allah, banyak indahnya dan tak ada satu pun yang mendatangkan keburukan,” katanya.